Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasukan petugas khas tunggu masa sesuai serah laporan kajian UEC

Pasukan petugas yang mengkaji dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengemukakan laporan akhir mengenai hal berkenaan kepada Kementerian Pendidikan.

Pengerusinya, Eddin Khoo, berkata pihaknya berharap laporan tersebut dapat diserahkan pada Ogos ini.

"Semuanya sudah sedia, saya menunggu masa yang sesuai untuk menyerahkannya," kata Khoo kepada Malaysiakini.

Menurut Khoo lagi, laporan itu akan dikemukakan dengan satu permintaan khusus.

"Saya mahu meminta agar menteri terbabit memohon agar kerajaan dan kabinet mendedahkan kepada orang ramai laporan tersebut," katanya.

Hal itu penting, katanya, agar orang ramai memahami isu UEC.

Khoo juga menafikan laporan Sin Chew Daily yang memetiknya sebagai berkata, pasukan petugas terbabit mungkin tidak akan mengemukakan laporan tersebut jika semua pihak tidak melihat isu UEC secara rasional.

"Saya katakan (kepada harian itu), saya menunggu masa untuk menyerahkan laporan berkenaan kerana saya tak mahu isu ini dimainkan dan dieksploitasi seperti yang berlaku minggu lalu," katanya.

Terpaksa ditunda beberapa kali

Apa yang dimaksudkan Khoo itu merujuk kepada kontroversi yang timbul selepas Persekutuan Persatuan Cina (Huazong) mengadakan kunjungan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kata Khoo beliau tidak pernah memberitahu agensi berita berkenaan pihaknya tidak mahu menyerahkan laporan berkenaan.

"Ia menjadi tanggungjawab saya untuk melakukannya.

"Ia akan diserahkan agar orang ramai boleh memahami isu ini secara keseluruhan," katanya.

Khoo juga memberitahu, beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan selepas ini.

Penubuhan pasukan petugas itu dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada 29 Ogos 2018 dan diumumkan menteri pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik.

Selain Khoo sebagai pengerusi, ia turut dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim; dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia - China, Tan Yew Sing.

Menurut Khoo merekia terpaksa menunda tarikh untuk menyerahkan laporan tersebut kepada kerajaan kerana berlaku beberapa perkembangan dalam negara.

Antarana, kata beliau, peletakan jawatan Maszlee sebagai menteri pendidikan, penubuhan kerajaan Perikatan Nasional dan ancaman wabak Covid-19.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS