Najib: Saya tidak bertemu Dr Mahathir
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan ada bertemu secara rahsia dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi pada hujung minggu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan ada bertemu secara rahsia dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi pada hujung minggu lalu.
"Saya tidak menemui beliau...tidak. Siapa kata? Anda percaya pada khabar angin?" balasnya bila ditanya mengenai perkara tersebut dalam sidang medianya di bangunan Parlimen hari ini.
"Tidak ada sebarang pertemuan antara saya dengan Dr Mahathir," tegasnya.
Spekulasi di kalangan pemerhati politik mendakwa Najib bertemu Dr Mahathir di sebuah pusat peranginan di Langkawi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berlepas ke Australia.
Najib dikatakan bertemu Dr Mahathir sebelum bekas Perdana Menteri itu pergi bercuti bersama keluarganya ke Turki dan Greece pada 2 Julai lalu.
Abdullah berlepas ke Australia sejak 29 Jun lalu untuk bercuti selama dua minggu dan menjalani pembedahan resdung di Perth.
Perdana Menteri yang dikritik hebat oleh Dr Mahathir sejak kebelakangan ini dijangka kembali ke tanahair pada pertengahan bulan ini.
Orang tengah
Menyentuh mengenai rancangan mendamaikan Dr Mahathir dan Abdullah melalui 'orang tengah', Najib sekali menyatakan kerajaan tidak pernah melantik sesiapa untuk menjadi 'pendamai' dalam krisis antara kedua pemimpin negara itu.
"Bagaimanapun, kerajaan tidak menghalang usaha mana-mana individu untuk memulihkan hubungan Perdana Menteri dengan bekas Perdana Menteri," tegasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa pendiriannya berhubung usaha damai itu adalah sinonim dengan keputusan kerajaan.
Minggu lalu Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin mengumumkan 'orang tengah' telah dilantik untuk mendamaikan Abdullah dan Dr Mahathir.
Mengenai perkara lain, Najib berkata, mesyuarat kabinet semalam telah membincangkan tuntutan pampasan Gerbang Perdana Sdn Bhd, kontraktor projek jambatan indah di Selat Johor yang dibatalkan awal bulan lalu.
Bagaimanapun beliau enggan memberitahu butir-butir lanjut mengenai pampasan berkenaan kerana ia masih dalam kajian pihak berkenaan.
" Kajian tentang tuntutan itu dijangka disiapkan Selasa depan," katanya.
Gerbang Perdana pada awalnya menuntut pampasan RM100 juta tetapi baru-baru ini membuat tuntutan baru sebanyak RM360 juta. Berita asal

