Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerja pembaikan paip pecah di Klang giat dijalankan

Kerja-kerja pembaikan paip pecah di kawasan tanah mendap di simpang jalan antara Jalan Johan Setia dan Jalan Langat, Klang masih giat dijalankan, dengan kerja-kerja pembaikan pada jajaran paip itu sudah mencapai tahap 92 peratus setakat pukul 8.00 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata pihaknya sudah mula menyalurkan bekalan air ke kawasan Johan Setia pada pukul 8.00 pagi ini dan pemulihan dijangka secara berperingkat susulan kerja-kerja pembaikan paip di kawasan berkenaan siap lebih awal daripada yang dijadualkan.

Beliau berkata kerja-kerja bagi pembaikan paip bocor yang menyalurkan air ke kawasan Pendamaran juga telah siap dilaksanakan lebih awal iaitu pada pukul 4.00 pagi ini dan bekalan air di seluruh kawasan Pendamaran telah pulih sepenuhnya.

"Bantuan bekalan air kecemasan menggunakan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan terlibat di Klang dan Kuala Langat telah digerakkan bagi membantu pengguna," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Julai, beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat dilaporkan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, susulan kejadian paip pecah di simpang jalan antara Jalan Johan Setia dan Jalan Langat, Klang berikutan tanah mendap yang berlaku di tapak kerja projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS