Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri mohon KPM bantu baik pulih SK Ampang Campuran
Diterbitkan:  Jul 22, 2020 1:48 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memohon kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membaik pulih bangunan Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran yang berusia lebih 20 tahun, kerana mengalami kerosakan dan kebocoran yang teruk.

Zuraida berkata pihak sekolah telah menyenaraikan beberapa bantuan yang diperlukan berikutan bangunan sekolah berkenaan merupakan model lama tiga tingkat yang perlu dibaiki dan dicat semula.

“Sekolah juga mengalami masalah pada tangki air mengakibatkan kebocoran teruk pada tandas tingkat satu hingga tiga. Ini adalah kerja yang besar yang memerlukan peruntukan daripada KPM sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan, dekat Kuala Lumpur, pagi tadi.

Zuraida berkata sebagai ahli Parlimen Ampang, pihaknya telah meluluskan peruntukan RM79,000 bagi membaik pulih kerosakan di sekolah tersebut termasuk membaiki paip air yang bocor.

Menurutnya daripada peruntukan itu, sebanyak RM24,000 bagi menambah enam tandas murid dan RM20,000 lagi bagi membina bengkel pendidikan khas serta tandas bagi murid prasekolah.

Mengenai masalah jalan di sekolah tersebut yang ditutup, Zuraida berkata pihaknya telah meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuka semula jalan berkenaan bagi menyelesaikan kesesakan pada waktu pagi dan petang.

“Sebenarnya di situ ada jalan yang boleh dilalui ke jalan besar iaitu menghala ke Pandan Indah, namun disebabkan berlaku pencerobohan maka, jalan tersebut telah ditutup,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS