Covid-19: 6 kes baru penularan tempatan, majoriti di Sarawak
Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat sembilan kes baru Covid-19 yang dilaporkan setakat tengah hari ini, dengan enam daripadanya melibatkan penularan dalam negara.
Daripada enam kes itu, empat melibatkan warga tempatan dan semuanya berlaku di Sarawak.
Setiap kes adalah daripada Kluster Stutong, Kluster Sentosa, Kluster Kejuruteraan Kuching dan satu kes masih dalam siasatan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, pesakit yang masih dalam siasatan itu tidak menunjukkan gejala dan kini dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.
Dua lagi kes penularan dalam negara dikesan di Sabah, melibatkan saringan tahanan sebelum dibebaskan daripada penjara, dan di Kelantan, juga melibatkan kes saringan tahanan penjara tetapi telah dipindahkan ke pusat tahanan Imigresen.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan seramai lapan pesakit Covid-19 telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 8,574 kes, iaitu 97 peratus daripada keseluruhan kes.
Seramai lima pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Noor Hisham memaklumkan tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal 123 kes, iaitu 1.39 peratus daripada keseluruhan kes.
Noor Hisham memaklumkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini berjumlah 143, kira-kira dua kali ganda berbanding 9 Julai lalu.
Menurutnya, nilai kebolehjangkitan atau R0 (R-naught) kini pada angka 1.36, meningkat daripada 0.3 ketika tempoh perintah kawalan pergerakan.
R0 merujuk nilai kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes yang berlaku. Dalam kaedah permodelan dan ramalan untuk sesuatu wabak, menurunkan nilai R0 kurang daripada angka 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.
"Jika ia mencecah 1.6, bermakna kita boleh menjangkakan peningkatan mendadak dalam tempoh masa yang singkat," katanya.
Justeru, beliau menggesa orang ramai agar terus patuh kepada langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan.
Beliau juga menyambut baik langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan di tempat sesak seperti yang diumumkan hari ini.
"Selain itu, alat pelitup separuh muka perlu dipakai dengan betul dan menutupi ruang hidung sehingga dagu. Pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ianya tergantung di leher, dahi, atau hanya sebahagian dari hidung dan mulut adalah tidak bertepatan dan membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.
"Nasihat KKM adalah, pakailah pelitup dengan kaedah yang betul," katanya lagi.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


