Wanita tular langgar kuarantin rumah dijangkiti Covid-19 lepas pakai pelitup muka fabrik
Wanita memakai gelang kuarantin Covid-19 yang tular di laman sosial kerana dipercayai melanggar arahan kuarantin rumah sebelum ini positif virus selepas memakai pelitup muka jenis fabrik, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kementerian kesihatan itu dipetik Harian Metro sebagai berkata bahawa wanita itu dan seorang lagi anaknya berkemungkinan mendapat jangkitan import dari United Kingdom.
"Siasatan awal kami mendapati pelitup muka yang dipakai mereka adalah jenis fabrik bukan kegunaan perubatan.
"Hasil saringan Covid-19 mengesahkan anaknya disahkan positif Sabtu lalu dan sedang dirawat di hospital," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Dr Noor Hisham berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan kontak rapat dua beranak dari Ipoh itu.
Pada 20 Julai lalu, Jabatan Kesihatan Perak sedang mengesan seorang wanita yang diletakkan bawah pengawasan Covid-19 kerana dipercayai melanggar arahan pemantauan di rumah (HSO) Covid-19.
Wanita itu dilihat memakai gelang pada tangan kanannya, menunjukkan dia adalah individu di bawah pengawasan (PUS) tetapi dirakam gambarnya sedang makan di sebuah restoran di Bandar Meru Raya, Ipoh.
Gambar itu kemudian tular di media sosial dan mendapat kecaman warganet.

