Peguam Negara, Tan Seri Abdul Gani Patail memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap segala aduan berhubung perbuatan merobohkan kuil Hindu sebaik sahaja mendapat kertas siasatan kes tersebut.

Ghani memberi jaminan itu sebagai respons kepada pertanyaan komuniti Hindu terhadap tindakan yang bakal diambil oleh jabatan Peguam Negara terhadap aduan mereka.

" Saya telah meminta kertas siasatan berkenaan tetapi setakat ini belum mendapatnya. Saya sedang menunggu polis menyiapkan laporan siasatan tersebut."

"Saya telah meminta segala-galanya dihantar kepada saya sebaik sahaja siasatan selesai," katanya kepada malaysiakini.

Ghani berkata, semua pengadu patut bertanya soal ini kepada pihak polis kerana siasatan dijalankan oleh pihak berkenaan.

"Pihak pengadu juga perlu bertanggungjawab, bukannya membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadap saya tanpa mengetahui situasi sebenarnya," ujar beliau.

"Adalah silap menuduh saya tidak mengambil apa-apa tindakan bila kertas siasatan tiada pada saya," tambahnya sambil mengakui isu ini sangat penting perlu ditangani segera.

Bagaimanapun katanya, semua pihak perlu sedar jabatan Peguam Negara bukannya agensi penyiasat dan tidak boleh mengambilalih peranan itu.

"Saya sedar ia satu isu yang sensitif tetapi janganlah kita keterlaluan membesar-besarkannya. Jika ada perbuatan jenayah dalam kes ini, kami tentu akan bertindak," tegasnya lagi.

Minggu lalu Jawatankuasa Bertindak Penganut Hindu (Hindraf) telah menghantar surat kepada Peguam Negara memintanya bertindak segera terhadap laporan pemusnahan kuil-kuil Hindu yang telah dihantar kepada beliau.

Hindraf turut memberi kata dua kepada Peguam Negara supaya bertindak segera dalam tempoh tujuh hari atau dikenakan tindakan kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan. Kata dua tersebut berakhir semalam.

Tindakan undang-undang

Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy pula berkata para peguam mereka sedang menyiapkan dokumen untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Peguam Negara kerana gagal memenuhi kata dua itu.

Katanya, tindakan undang-undang itu akan difailkan di mahkamah dalam masa dua minggu ini.

"Lagipun bukannya kerja kami untuk bertanya polis berhubung kes ini. Pihak polis adalah salah satu agensi yang termasuk dalam aduan kami kerana mereka bersubahat dan membantu pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil Hindu," ujarnya.

"Bagaimana bolah Peguam Negara menyuruh kami bertanya pada polis kes ini sedangkan kami turut mempersoalkan penglibatan mereka dalam kes-kes perobohan itu," kata Moorthy.

Menurut beliau, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mengarahkan pihak polis mempercepatkan siasatan tersebut dan menghantar segera kertas siasatan kepadanya.

"Jika polis boleh menahan seseorang kerana mencuri, mengapa mereka tidak boleh menahan Datuk Bandar atau mengambil kenyataan darinya?" soal beliau lagi.

Katanya, siasatan tidak boleh dimulakan jika Datuk Bandar tidak disoalsiasat.

Menurut Moorthy, pihaknya menulis kepada Peguam Negara kerana polis tidak bertindak walaupun banyak aduan telah dibuat. Lebih 50 aduan polis telah dibuat sejak Februari terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Shah Alam, pihak penguatkuasa kerajaan tempatan dan polis yang bertugas ketika perobohan kuil dilakukan.

Sementara itu parti MIC yang tidak mengendahkan isu itu selama ini telah diminta membawa isu ini ke kabinet.

Hindraf juga mahukan satu undang-undang khas berkaitan pemeliharaan kuil sebagai salah satu warisan negara digubal. Sebahagian kuil-kuil yang dirobohkan itu didirikan sebelum negara mendapat kemerdekaan. Berita asal