21 lagi positif, 3 kluster baru dikesan
Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 21 lagi kes Covid-19 baru, termasuk dari tiga kluster baru, menjadikan jumlah terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,861 kes.
Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan bahawa jumlah kes baru itu terdiri daripada lima kes import dan 16 kes jangkitan tempatan.
Daripada lima kes import yang dilaporkan, tiga merupakan warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja.
Kes import itu adalah dari Singapura (1 kes), Australia (1 kes), Filipina (1 kes), Pakistan (1 kes) dan Qatar (1 kes).
Daripada 16 kes penularan di dalam negara pula, 13 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala tiga kes adalah di kalangan bukan warganegara.
Lapan kes jangkitan dalam negara dikesan dari Kluster Sentosa di Sarawak.
Selebihnya masing-masing di Kuala Lumpur (dua kes daripada Kluster PUI Ramnad), Selangor (satu kes daripada Kluster PUI Al Khobar), Johor (satu kes daripada Kluster Warga Emas Kluang) dan Pahang (satu kes daripada Kluster Elsa).

Tiga kluster baru
Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan Kluster Elsa merupakan tiga kluster baru yang dikesan.
Kes indeks Kluster Elsa melibatkan krew kapal yang bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di
Korea.
Individu itu masuk ke Malaysia pada 16 Julai lalu dan dikesan positif pada 22 Julai, sebelum dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.
Saringan kontak rapat setakat ini menyaring seramai 108 individu, dengan tiga dikesan positif, 48 negatif dan 57 masih menunggu keputusan.
Bagi Kluster PUI Ramnad, kes indeks merupakan warganegara Malaysia
yang pulang dari India pada 6 Julai.
Saringan di Pintu Masuk
Antarabangsa KLIA pada mulanya mendapati dia negatif dan menjalani Perintah
Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Saringan hari ke-13
HSO didapati positif dan dia dimasukkan ke Hospital
Sungai Buloh, Selangor.
Siasatan dan saringan kontak rapat setakat ini melibatkan 18 individu, dengan dua dikesan positif, 13 negatif, dan tiga lagi masih menunggu keputusan.
Kluster PUI Al Khobar pula melibatkan kes indeks warganegara Malaysia yang pulang dari Arab Saudi pada 10 Julai.
Saringan di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA pada mulanya mendapati dia negatif dan diarah menjalani HSO bersama lima orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka.
Kelima-lima mereka ini juga telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks menaiki pesawat yang sama. Rumah keluarga tersebut turut didiami oleh dua orang ahli keluarga yang lain.
Kes indeks dikesan positif pada 20 Julai. Tujuh orang ahli keluarga kes indeks disaring mendapati satu positif dan enam negatif.
Siasatan dan saringan kontak rapat sedang diteruskan termasuk saringan penumpang lain pesawat yang dinaiki kes indeks kluster ini.
Tiga pulih, tiada kematian baru
KKM hari ini turut memaklumkan tiga lagi pesakit pulih dari jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah terkumpul yang sembuh dari wabak itu adalah 8,577 kes.
Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 161 kes.
Sehingga kini, lima kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif korban wabak itu di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Dalam kenyataan media hari ini, KKM mengingatkan pengembara yang pulang ke Malaysia dan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah untuk mematuhi sepenuhnya kepada syarat yang telah ditetapkan.
Ini termasuklah memakai pelitup separuh muka sepanjang perjalanan dari Pintu Masuk Antarabangsa ke rumah dan terus memakainya di rumah sekiranya penjarakan sosial yang selamat sukar diamalkan.
Pengembara juga perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat sekiranya bergejala serta wajib memakai gelang perintah pengawasan sepanjang masa perintah pengawasan dan pemerhatian.

