Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Dia tidak baca habis, dia budak lagi’
Diterbitkan:  Jul 24, 2020 7:03 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang membidas kritikan exco agama Pemuda Bersatu (Armada) Abu Hafiz Salleh Hudin terhadap parti itu berhubung pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

Kata beliau, Abu Hafiz belum “membaca habis” berkenaan pindaan RUU berkenaan, sedangkan RUU berkenaan sudah pun cuba dilaksanakan menerusi enakmen jenayah syariah di Kelantan dan Terengganu.

“Terengganu dah ada undang-undang Terengganu, Kelantan dah ada dalam perlembagaan. Dia (Abu Hafiz) kena baca enakmen dah ada di Terengganu dah ada di Kelantan.

“Saya difahamkan Pahang dan Negeri Sembilan ada juga. Tidak silap saya Sabah ada juga...cuma perlu melalui proses perlembagaan.

“Dia tidak baca habis (sebab) dia budak lagi…yang bercakap tu dia tidak sempat dengan tahun 90 (1990). Kita tahun 90 dah selesai dah,” katanya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila hari ini, seperti dipetik Astro Awani.

Abu Hafiz Salleh Hudin 

Abu Hafiz semalam mendakwa PAS tidak mempunyai persiapan teknikal perundangan mahupun hujah agama ketika mereka dahulu mencadangkan betapa RUU 355 perlu dilaksanakan.

Bidas Abu Hafiz, kini, ketika PAS sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, mereka bahkan menyatakan bahawa sebarang pindaan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dia mengulas jawapan parlimen timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary bahawa sebarang cadangan berkaitan penggubalan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Marzuk menjawab pertanyaan lisan anggota parlimen Tampin, Hasan Bahrom semalam, berkenaan sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut buat kali kedua, serta bila ia akan dibuat dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

“Adakah tatkala ahli parlimen Marang (Abdul Hadi) berkali-kali bangun dahulu untuk mencadang, meminda dan membacakan usul cadangan pindaan RUU 355, beliau tidak sedar semua itu (tentang Perlembagaan Persekutuan) sungguhpun telah dimaklumkan oleh pelbagai pihak?” soalnya.

RUU itu dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Abdul Hadi, sebagai RUU persendirian, sebelum ditangguhkan dan dibentang lagi dengan versi yang disemak semula pada November 2016 dan April 2017.

Setakat ini, RUU 355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul sahaja tanpa perbahasan.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa penghukuman mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah, termasuklah meningkatkan hukuman penjara, denda, dan jumlah sebatan.

Lihat Komen
ADS