Seorang ejen jualan langsung dikompaun RM50,000 kerana mempromosikan gelang tangan yang didakwanya mampu mencegah jangkitan Covid-19.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Iskandar Halim Sulaiman berkata pihaknya mengesan isu yang tular di Facebook berkenaan promosi produk gelang tangan berharga RM580 itu.

Bertindak atas aduan tersebut, katanya, sepasukan penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan menyoal siasat seorang wanita iaitu ejen sebuah syarikat jualan langsung.

"Tindakan wanita itu mempromosikan produk dengan memberi pernyataan mengelirukan didapati menyalahi Seksyen 10(1)(h) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Dia seterusnya ditawarkan kompaun maksimum sebanyak RM50,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar Halim berkata sekiranya kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, individu terbabit akan dituduh di mahkamah.

Jelasnya, penalti bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 25 Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu bukan suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Katanya bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"KPDNHEP serius dalam memastikan pengguna tidak terpedaya dengan promosi atau pernyataan mengelirukan mengenai kegunaan sesuatu produk," katanya.

Selain itu, kata Iskandar Halim, semua pihak yang menjual dan mempromosikan produk perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan.

- Bernama