Mesyuarat DUN Selangor paling singkat dalam sejarah
Kerajaan Selangor sangat efisyen, kerana itu mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN)nya hanya bermesyuarat selama dua hari dan satu setengah jam sahaja sepanjang tujuh bulan tahun ini!
Kerajaan Selangor sangat efisyen, kerana itu mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN)nya hanya bermesyuarat selama dua hari dan satu setengah jam sahaja sepanjang tujuh bulan tahun ini!
Mesyuarat keduanya Isnin lalu hanya berlangsung selama satu setengah jam sahaja apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo mengumumkan penangguhannya sebaik sahaja ia bermula semula selepas waktu rehat.
Tindakan mengejut Menteri Besar itu memeranjatkan hampir semua 54 wakil rakyat yang hadir. Mesyuarat tersebut bermula pada pukul 10 pagi dan berlangsung selama sejam. Hanya empat daripada 169 soalan yang dikemukakan sempat dijawab.
Selepas berhenti rehat setangah jam, Dr. Mohd Khir mengusulkan mesyuarat ditangguhkan dan usul beliau disokong oleh penyokong kerajaan, Tan See Hang.
Beberapa buah akhbar berbahasa Cina telah melaporkan kisah mesyuarat DUN yang terpendek dalam sejarah Malaysia itu pada 4 Julai lalu.
Wakil tunggal DAP di DUN Selangor, Ng Suee Lim, telah memanggil sidang akhbar sebaik sahaja penangguhan mesyuarat itu bagi memperotes tindakan tersebut.
"Ini adalah satu insiden yang memalukan, ia menunjukkan kerajaan negeri tidak menghormati proses demokrasi. Bagaimana mahu buat kerja macam ini, " kata Ng ketika dihubungi malaysiakini.
"Pada masa lepas kami diberi masa yang terhad untuk membincang dan mengkaji dasar-dasar kerajaan negeri. Nampaknya sekarang keadaan semakin buruk," katanya.
Ketika ditanya mengapa mesyuarat tersebut ditamatkan begitu cepat, Ng menjawab dengan sinis;" Kerana kerajaan Selangor sangat efisyen."
DUN Selangor bermesyuarat tiga kali setahun pada bulan Mac-April, Jun-Julai dan November untuk membincangkan bajet tahunan.
Terkejut dan malu
Dalam mesyuarat pertama tahun ini pada 5 Mac lalu, ia berlangsung selama dua hari dengan hari pertamanya dipenuhi dengan acara perasmian sedangkan DUN Selangor memperuntukkan tempoh lima hari bagi setiap penggal mesyuaratnya.
Negeri-negeri lain, umpamanya Pulau Pinang dan Perak memperuntukan antara 12 hingga 14 hari bagi mesyuarat DUNnya.
Tindakan Menteri Besar memendekkan mesyuarat tersebut dikatakan mengejutkan ramai anggota DUN. Seorang penyokong kerajaan memberitahu, mereka tidak diberi tahu lebih awal tentang tindakan itu.
" Kami hanya diberitahu MB terpaksa memendekkan mesyuarat kerana perlu berlepas ke China" katanya.
Wakil Rakyat Barisan Nasional bagi DUN Kinrara, Dr Kow Cheong Wei mengesahkan Dr. Mohd Khir melawat China dari 5 hingga 8 Julai. Dr. Kow merupakan salah seorang anggota delegasi ke China itu.
Malaysiakini bagaimanapun gagal menghubungi Dr. Mohd Khir untuk mendapatkan ulasannya.
Insiden pada Isnin lalu itu dijangka akan meningkatkan lagi kritikan terhadap kerajaan negeri Selangor, bukan sahaja dari kalangan anggota pembangkang bahkan dari kalangan penyokong kerajaan sendiri.
Seorang penyokong kerajaan telah melahirkan rasa terkejut dan malunya terhadap insiden tersebut.
"Kami perlu menunjukkan kepada pengundi kami bahawa kami menjalankan tugas yang diamanahkan. Kami berharap perkara seperti ini tidak berulang lagi. Kami memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk membincangkan pelbagai isu," tekan beliau.
Katanya lagi, jika insiden seperti ini berulang, ia akan menjejaskan reputasi dan peluang semua wakil rakyat Barisan Nasional di Selangor. Berita asal

