Persidangan Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT) telah melakar kejayaan yang besar selepas ia menghasilkan beberapa kesepakatan dan dipersetujui dengan kenyataan secara kolektif daripada anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata anggota Apec hari ini mengimbas semula kenyataan MRT APEC mengenai Covid-19 yang dikeluarkan pada 5 Mei 2020 dan mengesahkan komitmen mereka untuk mengurangkan kesan ekonomi berikutan pandemik itu.

Ini merangkumi usaha pengemudian rantau ke arah laluan yang berdaya tahan, mampan dan inklusif termasuk menyegerakan pemulihan ekonomi.

Ekonomi APEC juga telah bersetuju untuk mengekalkan aliran perdagangan dan pelaburan bebas, bagi mengurangkan gangguan ke atas rantaian bekalan dunia yang akan menjejaskan ekonomi mereka.

“Dengan sukacita, saya memaklumkan bahawa kita bersetuju untuk menangani isu ini dan semua ekonomi bersepakat bahawa aliran perdagangan dan pelaburan yang bebas di kalangan ekonomi anggota perlu dikekalkan.

“Malahan kita ada cadangan bersama membabitkan New Zealand, Singapura dan Malaysia bagi memulakan inisiatif ini,” jelasnya.

Konsensus ini menandakan satu isyarat yang penting kepada masyarakat dunia bahawa ekonomi-ekonomi APEC bukan sahaja berjaya mengeluarkan kenyataan tetapi secara bersama, berusaha untuk menangani kesan pandemik Covid-19 untuk kesejahteraan rakyat serta anggota ekonomi Apec.

“Bagi saya, ini merupakan kejayaan yang luar biasa kerana kita sedia maklum pada 2018 anggota ekonomi Apec telah gagal untuk mencapai kenyataan bersama kerana pada ketika itu, baru tercetus perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

"Pada tahun lepas juga kita tidak ada sebarang kenyataan kerana kegagalan mengadakan persidangan APEC di Chile,” katanya kepada media selepas persidangan VMRT, di Kuala Lumpur,  hari ini.

Menurut beliau, tahun ini merupakan tahun terpenting, yang mana Malaysia sebagai penganjur telah mengambil beberapa langkah dan inisiatif sejak dari tahun lepas untuk mengadakan konsultasi dengan anggota ekonomi Apec.

"Saya yakin penglibatan ini telah menghasilkan beberapa kejayaan besar seperti yang telah berlaku pada hari ini dan semasa Mei lepas," katanya.

Menyentuh mengenai penyampaian Malaysia pada mesyuarat VMRT hari ini, Mohamed Azmin berkata Malaysia telah mengemukakan tiga cadangan.

Cadangan tersebut merangkumi usaha penambahbaikan dalam naratif membabitkan pelaburan perdagangan, yang mana, Malaysia tidak mahu lagi bergantung semata-mata kepada keluaran dalam negara kasar sebagai petunjuk, memandangkan ianya tidak mencukupi, Malaysia mahu beberapa indikator lain diperkenalkan, yang mampu menunjukkan kemakmuran sesebuah negara.

"Kita juga telah meneraju falsafah kemakmuran bersama untuk semua anggota ekonomi Apec dan ini telah diterima baik dalam suasana yang kita hadapi sekarang ini," katanya.

Cadangan kedua pula menyentuh mengenai penyertaan dalam ekonomi digital, yang mana, amat perlu bagi wanita, belia dan pemula niaga untuk menggunakan teknologi .

Yang ketiga,Malaysia juga menekankan inovatif yang mampan, anggota ekonomi Apec sewajarnya, memulakan inisiatif ini sebagai kaedah untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi di rantau berkenaan.

"Ini adalah cadangan yang diterajui Malaysia namun kita tidak dapat melaksanakan sepenuhnya pada tahun ini disebabkan persekitaran Covid-19 tetapi ia akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang," katanya.

Disamping itu, Malaysia pada sidang kali ini ini, sedang menyiapkan draf visi pasca 2020 untuk anggota ekonomi Apec, yang sedang dikembangkan dengan baik dan positif.

Draf itu telah diedarkan di kalangan anggota Apec dan mesyuarat selanjutnya akan diadakan pada 13 Ogos tahun ini seperti yang dijadualkan, katanya.

"Kita percaya dalam beberapa perbincangan yang akan datang, kita akan dapat sekali lagi mencapai persetujuan dan bermuafakat, sebelum ditetapkan oleh ketua negara masing-masing pada tahun ini.

"Bagi kita visi ini amat penting memandangkan Matlamat Bogor akan tamat pada tahun ini. Maka sekali lagi Malaysia bersama ekonomi Apec akan memainkan peranan yang cukup penting untuk melihat hala tuju Apec seterusnya," katanya lagi.

-Bernama