Satu siri serbuan oleh anggota dari ibu pejabat polis Daerah Petaling Jaya telah membawa kepada penahanan 20 lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dalam operasi yang bermula pada 10 malam semalam dan berakhir pada 6 pagi tadi.

“Operasi telah dijalankan di beberapa lokasi dalam daerah ini seperti kawasan pangsapuri Desa Mentari, Taman Medan, Taman Dato Hormat dan Kampung Lindungan.

“Susulan serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah menjumpai air ketum, ganja dan syabu dipercayai dimiliki semua suspek,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 6, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-Bernama