Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menerbitkan program bual-bicara dalam bahasa Cina dan Tamil tidak lama lagi bagi menarik lebih ramai penonton dari kaum berkenaan, kata Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.

Beliau berkata, RTM yang sedang membuat perubahan besar sekarang tidak akan meminggirkan penonton kaum Cina dan India sebaliknya akan menambah program untuk mereka termasuk membanyakkan tayangan drama dan filem dalam kedua-dua bahasa itu.

Selain itu katanya, RTM akan juga membanyakkan filem yang mempunyai nilai budaya yang sama dengan Malaysia seperti Korea, China dan Hindi.

"Sekarang RTM menjadi pencabar kepada stesen TV swasta dengan rancangan yang lebih menonjolkan nilai-nilai budaya Malaysia kerana kita mahu membina masyarakat yang berbudaya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Kempen Membaca" sempena Hari Keluarga Kementerian Penerangan di Taman Tema Lost World of Tambun dekat Ipoh.

RTM kini katanya, sudah bersedia bersaing dengan stesen TV swasta untuk menyiarkan rancangan berkualiti, dan akan memastikan ia tidak dianggap sebagai "tong sampah" bagi sesetengah penerbit yang menghasilkan terbitan tidak berkualiti selepas memperolehi masa siaran mereka.

Beliau berkata RTM juga akan membeli sendiri rancangan atau filem luar negara dengan membuat penilaian terlebih dahulu kerana sebelum ini stesen TV itu membelinya melalui orang tengah atau ejen.

"Dulu kami tak boleh beli secara terus tetapi sekarang orang kami akan beli terus daripada pengeluar atau ejen mereka seperti Sony dan ini akan menjadi lebih murah. Contohnya seperti filem box-office Cina. Ini adalah keputusan drastik yang kami akan ambil," katanya.

Menurut laporan Bernama, Zainuddin juga menegaskan, stesen TV swasta kini terpaksa bersaing dengan RTM yang menyiarkan rancangan berkualiti dan mempunyai nilai budaya Malaysia seperti slot hiburan "Suzana" yang mempunyai rating penonton sebanyak 1.2 juta dan "Malim Kundang" sebanyak 1.6 juta.

Beliau menambah, RTM juga telah memperkenalkan peraturan baru bagi masa siaran programnya bagi memastikan program TV yang disiarkan di RTM mematuhi kriteria penyiaran yang ditetapkan terutama dari aspek kualiti program.

Jelas beliau, peraturan itu bagi memastikan pembahagian semua slot rancangan TV stesen milik kerajaan berkenaan lebih telus dan adil kepada semua penerbit.

"Masa siaran sekarang adalah pembahagian masa siaran yang lama. Jadi jawatankuasa yang kami tubuhkan ini akan mencari formula supaya masa siaran yang diberikan adil. Kami akan mengambil masa dan kami akan laksanakan masa siaran baru tahun depan," katanya .

Zainuddin berkata pada masa sekarang RTM membayar RM40,000 bagi tempoh satu jam masa siaran untuk semua program yang dibeli daripada syarikat penerbitan atau konsortium.