Kerajaan rancang aktifkan semula Jasa
Kerajaan merancang untuk mengaktifkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Zahidi Zainul Abidin.
Zahidi dipetik Bernama sebagai berkata bahawa keutamaan pengambilan petugas adalah mereka yang pernah berkhidmat dengan jabatan tersebut sebelum ini.
“KKMM akan mengadakan temu duga untuk membuat ambilan baharu melalui proses pengambilan yang digariskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan mengutamakan bekas pegawai Jasa yang kehilangan kerja apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah," katanya.
Jasa dibubarkan tidak lama setelah PH mengambil alih kerajaan pada 2018.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menubuhkan unit propaganda baru pada April, tetapi belum dapat diaktifkan.
Memetik sumber kerajaan, portal tersebut melaporkan bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah telah menyerahkan kertas kerja kepada kabinet pada bulan Mac yang telah disetujui.
Anggaran peruntukan RM30 juta dilaporkan diperuntukkan bagi tujuan itu, dengan RM20 juta bagi mebiayai kos operasi.
Bagaimanapun, laporan itu mengatakan bahawa ia menghadapi masalah kerana Belanjawan 2020 tidak mempunyai peruntukan untuk unit tersebut.
"Terdapat isu belanjawan, mungkin perlu ada belanjawan baharu. Mereka masih menggunakan belanjawan yang dibentangkan Lim Guan Eng (bekas menteri kewangan),” katanya.
Awal minggu ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Zainul Abidin mengemukakan rang undang-undang peruntukan anggaran untuk menampung kabinet yang disusun semula.
Tidak ada dana tambahan yang dikaitkan dengan rang undang-undang itu. Begitu juga, tiada dana diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Bagaimanapun, Putrajaya mempunyai amalan membuat perbelanjaan terlebih dahulu, dan kemudian mencari anggaran tambahan pada tahun berikutnya.

