IPCMC: Pelbagai pihak alukan kenyataan Musa

Bede Hong        

Pelbagai pihak menyambut baik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengatakan pihak polis tidak lagi menentang cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Ketua pembangkang, Lim Kit Siang dalam kenyataannnya berkata, perubahan pendirian polis terhadap cadangan penubuhan IPCMC sangat dialu-alukan dan dihormati.

Beliau bagaimanapun mengingatkan Musa dan pihak polis jangan bermain dengan kata-kata.

"Saya menerima kenyataan Musa secara tersurat bahawa polis bukan sahaja tidak membantah penubuhan IPCMC malah akan berkerjasama untuk menubuhkannya,"ujar ahli Parlimen Ipoh-Timur itu.

Menurut Lim lagi, kenyataan Musa sudah lama ditunggu-tunggu oleh pelbagai pihak.

DAP juga katanya mahu mengadakan dialog dengan pihak polis sebelum badan itu ditubuhkan.

Kenyataan Musa semalam adalah bertentangan dengan pendirian polis selama ini di mana pada Mac lalu pihak berkuasa itu menganggap penhubuhan IPCMC adalah ancaman kepada keselamatan negara.

Suruhanjaya Diraja Polis mencadangkan penubuhan IPCMC hujung tahun lalu sebagai usaha untuk membaiki imej dan mutu perkhidmatan polis, membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, partinya gembira dengan keputusan pucuk pimpinan atasan polis itu.

"Dengan itu kami minta Perdana Menteri dan kabinetnya jangan melengah-lengahakan lagi penubuhan IPCMC. Tindakan ini akan melahirkan keyakinan bahawa kerajaan serius untuk mewujudkan sebuah masyrakat yang bebas rasuah," ujarnya.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Hak Asasi Manusia Nasional (Hakam) Elizabeth Wong pula berkata, kerajaan patut bertegas berhubung isu ini sejak dari awal lagi.

"Sepatutnya IPCMC sudah lama ditubuhkan. Saya agak terkejut kerana polis tidak terus menentang cadangan ini," ujarnya. Berita asal

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In