mk-logo
Berita
Anwar: PH akan bincang dengan kem Mahathir mengenai PRK Slim
Diterbitkan:  Jul 26, 2020 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Pakatan Harapan (PH) akan berbincang dengan kem Dr Mahathir Mohamad - yang dikenali secara tidak rasmi sebagai Bersatu Blackout - berhubung calon pilihan raya kecil (PRk) Slim yang akan datang.

Bercakap kepada pemberita di Ampang, Selangor hari ini, Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu terbuka untuk berbincang bagi mengelakkan perpecahan di kalangan pembangkang.

"Sebab dia (Bersatu Blackout) minta dalam perjumpaan itu (Khamis lalu) oleh kerana Bersatu bertanding di Slim, jadi kita tak mahu ada perpecahan di kalangan pembangkang. Dia tidak dalam PH.

"Tapi kita tak mahu bagi alasan kita ambil tindakan tanpa berunding. Jadi kita berunding dulu, dan pasukan jumpa dengan mereka.

"Kalau dia nak bertanding, kita kena bawa balik ke PH keputusan kita," katanya.

Anwar berkata beliau menjangkakan pasukan PH yang melakukan rundingan akan menyerahkan laporan mereka pada Selasa depan.

PRK Slim mendapat perhatian kerana ia akan menjadi pertandingan pertama melibatkan Perikatan Nasional dan PH, yang tidak bertanding pada pilihan raya kecil Chini.

Pendirian Anwar hari ini menunjukkan bahawa tuntutan PKR Perak untuk meletakkan calon pada PRK Slim masih belum muktamad.

Anwar bercakap kepada wartawan pada konvensyen penerangan PKR hari ini bagi mempersiapkan aktivis parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum.

Beliau berkata, parti itu bersiap sedia menghadapi pilihan raya mengejut dan mesyuarat serupa telah diadakan di cabang PKR Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Walaupun kita memiliki mandat selama tiga tahun lagi, kita tidak ambil kesempatan," katanya.

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar, Md Akin memberitahu wartawan bahawa konvensyen ini penting untuk menyusun strategi parti itu bagi menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengenai kejayaan PH selama 22 bulan pentadbirannya.

"Kerajaan yang kita pimpin termasuk 22 bulan pemerintahan, pasti ada success story untuk diterangkan. Tidak teralpa, tapi kita ambil moment ni untuk perkukuhkan lagi mesej kita kepada rakyat," jelasnya.

Lihat Komen
ADS