Kes jangkitan Covid-19 kekal pada dua angka apabila 13 kes dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini bermakna jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 173 kes.

Daripada jumlah berkenaan, 10 kes merupakan penularan dalam negara, manakala tiga kes lagi membabitkan kes import.

"Daripada 10 kes penularan di dalam negara, satu kes adalah di kalangan bukan warganegara manakala sembilan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Kes penularan dalam negara yang membabitkan warganegara adalah sebanyak enam kes daripada kluster Bukit Tiram di Johor; Satu kes daripada saringan pra-prosedur di Pahang; satu kes daripada saringan kontak rapat di Sabah dan satu kes daripada kluster Sentosa di Sarawak.

Tiga kes import pula membabitkan kemasukan dari Pakistan, Kazakhtan dan Indonesia yang masing-masing melibatkan seorang warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

Noor Hisham juga memaklumkan satu lagi kes kematian direkodkan selepas seminggu.

Kes kematian terbaru itu membabitkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 63 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia.

Mangsa, katanya mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai dan mendapat rawatan pada 9 Julai, sebelum dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Julai 2020 jam 12.04 pagi," katanya.

Sehingga kini, beliau berkata terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu Dr Noor Hisham menasihatkan pengembara yang telah pulang ke Malaysia sebelum 24 Julai agar mematuhi syarat ditetapkan ketika menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Antara syarat itu termasuk mengelakkan diri daripada bercampur gaul dengan ahli keluarga atau rakan serumah.

“Pada hari ke-14, pengembara perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat dengan laporan ujian Covid-19, untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 24 Julai, seramai 17,897 orang pengembara telah mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta telah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.

Bagaimanapun, katanya, sehingga 24 Julai, masih terdapat 2,897 orang pengembara masih belum tampil ke PKD untuk mendapat pelepasan.