Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM, apakah rakyat 'ditipu' dalam penyelesaian Goldman Sachs, soal Lim
Diterbitkan:  Jul 26, 2020 6:09 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mahu kerajaan Perikatan Nasional menjelaskan apakah rakyat Malaysia 'ditipu' ketika membuat perjanjian penyelesaian dengan Goldman Sachs berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.62 bilion), yang mana hanya AS$ 2.5 bilion (RM10.66 bilion) akan didapat dalam bentuk wang tunai daripada bank itu sebagai bayaran ganti rugi atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Lim berkata, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah menuntut AS$ 7.5 bilion (RM31.97 bilion) yang merangkumi nilai tiga bon Goldman Sachs yang diatur untuk 1MDB bernilai AS$ 6.5 bilion (RM27.71 bilion) dan tambahan AS$ 1 bilion (RM4.26 bilion) bagi menampung kos faedah sehingga kini.

Menurut bon yang disusun oleh Goldman Sachs, yang mana sejumlah besar dana itu akhirnya diselewengkan, 1MDB akan membayar kadar kupon sebanyak 5.99 peratus untuk bon pertama AS$1.75 bilion, 5.75 peratus untuk bon kedua AS$1.75 bilion dan 4.4 peratus untuk bon ketiga AS$3 bilion.

Di bawah penyelesaian berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.62 bilion) ini pula, Goldman Sachs hanya akan membayar tunai AS$ 2.5 bilion (RM10.66 bilion) kepada kerajaan Malaysia manakala baki AS$1.4 bilion (RM5.97 bilion) hanya akan menjadi "jaminan" untuk memastikan aset yang diperoleh menggunakan dana 1MDB yang dicuri akhirnya akan dikembalikan ke Malaysia.

Proses merampas, mencairkan dan mengembalikan aset ini banyak dilakukan oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ).

"Selain pembayaran tunai AS$2.5 bilion, jika Goldman Sachs bersedia untuk mengembalikan baki AS$4 bilion aset haram, dan bukan setakat AS$1.4 bilion sahaja, maka munasabah bagi kerajaan untuk bersetuju dengan penyelesaian AS$6.5 bilion tanpa mengambil kira faedah sejumlah AS$1 bilion yang telah ditanggung kita sebelum ini.

"Melepaskan tuntutan asal AS$7.5 bilion dengan berpuas hati dengan penyelesaian AS$3.9 bilion menunjukkan kerajaan memandang ringan beban hutang 1MDB yang sebegitu besar. Jumlah hutang 1MDB terkini yang dijamin oleh kerajaan ialah sebanyak RM31.7 bilion.

"Jumlah ini akan meningkat kepada RM41.5 bilion sekiranya dicampur dengan kadar faedah sehingga tahun 2038. Jumlah ini tidak termasuk RM8.9 bilion yang telahpun dibayar kerajaan sebelum ini. 

"Ini bermaksud jumlah keseluruhan hutang 1MDB, termasuk faedah, yang terpaksa ditanggung oleh negara kita ialah RM50.4 bilion," kata Lim.

Lim berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan sekiranya Goldman Sachs telah dibiarkan melepaskan diri daripada tuntutan dengan "mudah" atau rakyat Malaysia telah diperdayakan.

"Goldman Sachs hanya membayar tunai sebanyak AS$2.5 bilion untuk menyelesaikan segala tuntutan dan tindakan undang-undang jenayah oleh Kerajaan Malaysia terhadapnya.

"Jika tidak mengikut jumlah tuntutan asal AS$7.5 billion sekalipun, penyelesaian dengan Goldman Sachs patut dibuat dengan tuntutan sekurang-kurangnya AS$6.5 bilion berikutan 3 bon yang diterbit oleh syarikat tersebut.

"Perdana Menteri wajib memberi jaminan kepada rakyat bahawa beliau tidak mengkhianati kepentingan negara dan melepaskan Goldman Sachs sebegitu mudah atas penglibatan mereka dalam skandal kewangan terbesar dalam sejarah - Skandal 1MDB RM50.4 bilion," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS