Wanita PKR hari ini mengumumkan pelantikan baru bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh para pemimpin yang berpihak kepada bekas timbalan presiden parti, Mohamed Azmin Ali.

Dikendalikan oleh Ketua Wanita PKR yang baru dilantik Fuziah Salleh, Majlis Pimpinan Wanita PKR semalam memutuskan untuk melantik Adun Batu Tiga Rodziah Ismail sebagai Ketua Wanita PKR Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha wanita PKR Nor Azrina Surip berkata keputusan itu dibuat sebulat suara bersama ketua wanita cabang dan juga pengerusi majlis pimpinan di negeri masing-masing.

Rodziah mengambil alih jawatan daripada Adun Sementa Daroyah Alwai yang keluar daripada PKR dan menjadi adun bebas mesra Perikatan Nasional.

Daroyah sebelum ini merupakan timbalan ketua wanita PKR dan juga ketua PKR Selangor.

Adun Lembah Jaya Haniza Talha yang sebelum ini menyandang jawatan ketua wanita PKR telah dipecat dari parti awal bulan ini.

Nor Azrina turut mengumumkan bahawa terdapat ketua wanita PKR negeri baru iaitu Rohaidah Mamat (Wilayah Persekutuan), Naziratul Aini Muhamad Sayuty (Kelantan), Junaida Jamaludin (Perak), Napsiah Khamis (Johor), Che Meriah Che Endut (Terengganu) dan Barirah Mokhtar (Pahang).

Katanya, enam lagi ketua wanita negeri akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Pada peringkat majlis pimpinan wanita pusat, muka baru turut dilantik termasuk ahli parlimen Merbok Nurin Aina, Fadhlina Sidek, G Sivamalar, Zaliha Mustafa dan Loh Ker Chean.

“Barisan pimpinan terbaru ini bukan sahaja menampilkan beberapa wajah baru namun penggembelingan dari golongan muda dan juga dari kalangan mereka yang sangat berpengalaman berada dalam satu acuan pelbagai kaum turut diterjemahkan.

“Dalam pertemuan ini juga, selain menzahirkan kesatuan yang tiada berbelah bahagi, satu ketetapan secara bersama telah dicapai bahawa Wanita PKR terus bersiap siaga dalam apa jua keadaan,” katanya.

Untuk rekod, hujung Februari lalu, dalam satu gerakan yang diberi julukan Langkah Sheraton, Azmin dan beberapa anggota parlimen PKR keluar parti dan membentuk kerajaan baru di bawah PN bersama Umno-BN, PAS, GPS, PBS dan Star.

Sejak itu, beberapa pemimpin PKR yang dilihat sebagai penyokong Azmin meletak jawatan atau dipecat daripada parti itu.