Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Awas, syaitan guna media
Diterbitkan:  Jul 27, 2020 10:11 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan umat Islam perlu berwaspada pada zaman ini kerana wujudnya golongan syaitan yang menggunakan media, tentera upahan dan sukarelawan bagi menyebarkan maklumat dan tulisan menarik.

Tetapi kata beliau, ia menyesatkan akal sehingga menghilangkan jati diri umat Islam.

"Pertama, ada sebahagian yang mendedahkan diri sendiri, bahkan ada yang menentang Islam secara terbuka seperti mempersendakan hukum Islam yang mereka fikirkan bodoh dan tidak bertamadun.

"Sehingga perbuatan mereka itu menunjukkan diri mereka sendiri paling tidak bertamadun di rimba.

"Kedua, ada juga kalangan mereka yang berpura-pura menyokong Islam secara provokasi, supaya dilaksanakan syariat Islam tanpa ada sifat bertafaqquh.

“Sedangkan mereka jugalah yang menjadi penghalang dan bersekongkol dengan musuh Islam kerana mahukan kemenangan dunia yang segera tanpa mempedulikan wawasan akhirat," katanya dalam kolum Minda Presiden yang disiarkan Harakahdaily, hari ini.

Anggota parlimen Marang itu berkata, kitab suci al-Quran adalah hidayah (petunjuk) dan mukjizat ilmu yang dipelihara oleh Allah SWT sehingga tibanya ajal dunia, yang ketika itu tulisan dan hafazan al-Quran akan dihapuskan.

Justeru katanya, umat Islam yang setia kepada agamanya diperintahkan supaya sentiasa berpegang dengan al-Quran dan menjadikannya cahaya yang menyuluh kebenaran.

"Rasulullah SAW telah meninggalkan pusaka ilmu yang menunjukkan cara pelaksanaan al-Quran, khususnya apabila berlakunya sebarang pertelingkahan dalam semua perkara.

"Antara perkara yang paling besar dalam Islam ialah urusan politik yang diberikan peranan kepada manusia menguruskannya mengikut ketetapan Allah SWT. Politik merupakan sebahagian daripada ilmu fikah Islam yang sangat penting.

"Malangnya ramai di kalangan umat Islam terpengaruh dengan ajaran bukan Islam yang memisahkan politik daripada urusan agama, sehingga mengakibatkan munculnya orang-orang yang jahil terhadap agama.

"Lalu mereka itu bercakap dan menulis perkara melibatkan urusan politik menggunakan akal semata-mata tanpa merujuk kepada ilmu Islam yang menjadi sebahagian daripada mukjizat al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW," kata Abdul Hadi.

Beliau berkata, pada akhirnya Islam sebuah agama yang indah dirosakkan, apatah lagi pada zaman wujud kebebasan media, terdapat musuh Islam yang sanggup berbelanja besar menggunakannya sebagai alat bertujuan menyebarkan kekeliruan dan kesesatan, termasuklah untuk meragukan orang ramai terhadap Islam dan perjuangannya yang sebenar.

"Ramai di kalangan penganut Islam yang hanya berfikir untuk mencari makan dan menjadi khadam mereka, semata-mata untuk mendapatkan imbuhan. Pada masa yang sama, mereka tidak menyedari bahawa pemikiran yang disebarkan itu sebenarnya menempah dosa yang berpanjangan sehingga meninggal dunia.

"Allah SWT memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman, supaya berilmu dan beramal dengan ikhlas berkonsepkan akidah yang benar-benar daripada-Nya. Kemudian diwajibkan pula mendirikan solat lima kali sehari semalam, dengan doa yang sentiasa disebutkan dalam setiap rakaat," katanya sambil memetik beberapa surah daripada al-Quran.

Tambah Abdul Hadi, kita disuruh agar memohon petunjuk ke jalan yang benar dengan mengikuti ajaran para nabi, orang-orang yang siddiq (benar kepercayaan dan amal), para syuhada dan orang-orang yang soleh.

Jelasnya, begitu juga kita tidak ingin mengikuti jalan orang yang dimurkai oleh Allah SWT. Mereka itu daripada kalangan orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya, bahkan menyesatkan orang lain.

"Selain itu, kita memohon kepada Allah dijauhkan daripada jalan orang-orang yang sesat tanpa ilmu dan pengetahuan. Lebih malang mereka di kalangan yang jahil murakkab sebagaimana ditakrifkan oleh Imam al-Ghazali iaitu mereka yang tidak tahu atau tidak sedar diri jahil masing-masing dan juga bersifat takabbur.

"Pada suatu hari, Rasulullah SAW memberikan peringatan kepada para sahabat dan umatnya, lalu Baginda SAW melakarkan di atas tanah satu garis yang lurus dan dilakarkan cabang-cabang yang banyak," jelasnya.

Lihat Komen
ADS