mk-logo
Berita
Penawar alternatif kepada penyakit lompat parti

ULASAN | Budaya lompat parti bukanlah satu perkara baharu dalam politik Malaysia. Di sebalik keghairahan wakil rakyat melompat parti, budaya ini telah menimbulkan kekecewaan dan rasa dikhianati selepas mereka memberikan mandat melalui pilihan raya.

Setelah beberapa dekad politik Malaysia berkembang, penyakit lompat parti ini masih lagi tiada ‘penawar’. Ia sama seperti warga dunia yang menanti penawar pandemik Covid-19 yang masih tidak ditemui.

Di peringkat persekutuan, Akta Antilompat Parti (AALP) masih gagal digubal kerana ia didakwa bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) perlembagaan persekutuan, yang memberi hak kebebasan untuk berpersatuan. Pada hemat saya, menggubal AALP ini tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan kerana Perkara 10(2)(c) memperuntukkann parlimen membuat undang-undang bagi menyekat kebebasan berpersatuan yang didapatinya perlu untuk keselamatan persekutuan, ketenteraman awam dan prinsip moral.

Maka, penawar bagi penyakit lompat parti masih gagal ditemui kerana tiada kesanggupan politik dalam kalangan pemerintah. Persoalannya, adakah penyakit lompat parti ini tiada penawar? Sudah tiada penawar alternatif dalam mengubati penyakit lompat parti ini?

Sistem pilihan raya berdasarkan parti

Pada 22 Jun 2020, Nazri Aziz, ahli parlimen Padang Renggas telah mengemukakan cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958 (Akta 19) untuk menggunakan sistem pilihan raya berdasarkan parti ketika perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, bertujuan bagi menyelesaikan isu lompat parti.

Terdapat dua asas yang dikemukakan untuk melakukan pindaan kepada Akta ini. Pertama, menonjolkan lambang parti berbanding calon ketika pilihan raya mampu mengekalkan kestabilan politik dan mandat rakyat. Ini kerana parti yang menang boleh menamakan ahli parlimen di kawasan tersebut.

Kedua, kaedah ini didakwa boleh mengelakkan wakil rakyat menjual kerusi mereka untuk kepentingan peribadi dan mengelakkan isu tidak berintegriti. Rasuah mula timbul apabila ahli parlimen ditawar lompat parti, khususnya ketika kerajaan hampir jatuh.

Sistem ini akan mengukuhkan peranan parti dalam demokrasi berparlimen Malaysia. Ia juga satu pengiktirafan kepada parti politik yang telah memberi platform kepada wakil rakyat ketika bertanding pilihan raya umum.

Walau bagaimanapun, sistem ini akan memberi kuasa yang luas kepada parti untuk memilih wakil rakyat. Ia juga akan mewujudkan jurang ketidaksefahaman antara rakyat dan parti memandangkan pelantikan berdasarkan parti tidak semestinya mencerminkan aspirasi kehendak pengundi kawasan yang sebenar.

Sekiranya sistem ini dilaksanakan, ruang untuk wakil rakyat untuk mengundi mengikut pendirian sendiri di parlimen akan dikawal oleh parti. Keputusan berdasarkan parti di parlimen mempunyai kelemahan kerana ia berkemungkinan tidak memberi gambaran sebenar apa yang sedang berlaku di ruang awam.

Ia turut mengurangkan keberkesanan semak dan imbang di parlimen, khususnya back-bancher kerajaan. Apabila semua back-bancher perlu mengundi mengikut haluan parti pemerintah, maka ia memberi keselesaan kepada jemaah menteri untuk menikmati sokongan di parlimen. Hal ini akan mencipta ruang kepada dominasi eksekutif yang lebih berisiko kepada parlimen.

Perkara ini menunjukkan cadangan ini perlu dikaji oleh pihak berkuasa, tetapi ia tidak dapat menafikan kepentingan kaedah ini dapat mengatasi budaya lompat parti dan mencipta kestabilan politik negara.

Penawar untuk menjaga mandat rakyat

Tujuan utama sistem pilihan raya berdasarkan parti politik amat penting difahami, iaitu membina keyakinan orang awam akan integriti sistem pilihan raya dan mengangkat perwakilan parti politik di parlimen seperti yang telah dipilih rakyat secara demokratik.

Berbanding dengan cadangan lapuk selama dua dekad yang lalu untuk menggubal AALP, sistem pilihan raya berdasarkan parti ini dilihat sebagai penawar dalam mengubati penyakit lompat parti ketika ini. Inilah penawar alternatif yang mampu menjaga mandat rakyat daripada disakiti wakil rakyat yang gelojoh dan tidak berprinsip.

Perlu juga diperjelaskan bahawa pilihan raya kecil (PRK) masih diperlukan sekiranya kelayakan wakil rakyat tersebut terbatal kerana melakukan jenayah berdasarkan Perkara 48(1)(e) perlembagaan persekutuan atau wakil rakyat tersebut meninggal dunia.

Sekiranya wakil rakyat telah dipecat oleh parti, maka wakil rakyat perlu mengosongkan kerusi tersebut dan parti perlu memilih wakil baharu. Situasi ini pernah berlaku di New Zealand apabila Awatere Huata, wakil rakyat parti ACT diarahkan untuk mengosongkan kerusi parlimen selepas dilucutkan jawatan oleh parti. Mahkamah Agung New Zealand memutuskan tindakan ini sah atas peruntukan Akta Pilihan raya (Integriti) 2001.

Ini bermaksud, tiada wakil bebas di parlimen, kecuali individu tersebut bertanding dalam pilihan raya tanpa mewakili mana-mana parti. Wakil rakyat bebas yang mahu menyertai parti politik selepas pilihan raya juga perlu mengosongkan kerusi. Namun, wakil rakyat bebas ini perlu dibenarkan bertanding dalam PRK atau pilihan raya akan datang secara adil dan saksama. Pindaan kepada Perkara 48(6) perlembagaan persekutuan bagi membenarkan wakil rakyat tersebut bertanding.

Adalah lebih baik sekiranya cadangan sistem pilihan raya berdasarkan parti dan pindaan Akta 19 dikaji lebih mendalam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya. Begitu juga dengan beberapa pindaan perlembagaan persekutuan yang perlu dibuat oleh kerajaan dan parlimen untuk merealisasikan cadangan ini secara berkesan.

Secara prinsipnya, sistem pilihan raya berdasarkan parti ini akan memberi satu perubahan yang signifikan kepada persekitaran politik Malaysia. Semua pemimpin parti politik di Malaysia perlu mempertimbangkan dan bersetuju dengan cadangan ini demi membentuk persekitaran politik matang, stabil, dan menghormati mandat rakyat.


FAKHRURRAZI RASHID ialah koordinator penyelidik, Research For Social Advancement (Refsa), sebuah badan pemikir progresif Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS