Malaysiakini
BERITA

Hakim benarkan penangguhan, ikat jamin Najib dinaikkan RM1 juta

Hidir Reduan Abdul Rashid & Hariz Mohd

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Jul 2020, 11:46 tengahari

Keputusan perbicaraan jenayah Najib Razak terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB akan disampaikan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Penyokong Najib sudah dilihat berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi.

Malaysiakini membawakan laporan langsung prosiding ini.


Hakim benarkan penangguhan, ikat jamin naik RM1 juta

7.30 malam: Hakim Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya membuktikan keadaan istimewa untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sebanyak RM210 juta.

Bagaimanapun, jumlah ikat jamin perlu ditambah sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin.

Najib juga harus melapor diri ke balai polis terdekat pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan.

Beliau mempunyai masa sehingga esok untuk membayar jumlah jaminan sebanyak RM1 juta itu.


Pendakwa raya berpendapat penangguhan tidak dibenarkan bagi hukuman denda.

7.00 malam: Timbalan pendakwa raya, V Sithambaram membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman denda RM210 juta.

Ini kerana keputusan sebelumnya menjadikannya bahawa penangguhan hanya boleh dibenarkan dalam keadaan yang sangat istimewa.

Beliau berpendapat bahawa mahkamah boleh memutuskan bahawa denda itu akan dibayar sekali gus atau secara ansuran.


Najib tak dapat bayar denda, kata peguam

6.45 petang: Peguam Harvinderjit Singh menyatakan Najib Razak tidak dapat membayar denda kerana beliau sudah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Pada hakikatnya, keputusan Yang Arif menjatuhkan hukuman penjara lima tahun jika gagal membayar denda akan berkuatkuasa serta merta jika denda tidak dibayar," kata peguam itu.

Beliau merujuk Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah membolehkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.


Najib dihukum penjara 12 tahun, denda RM210 juta

6.30 petang: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib Razak dan denda RM210 juta atas salah guna kuasa.

Hakim turut memerintahkan Najib menjalani hukuman penjara lima tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagi tiga pengubahan wang haram dan tiga tuduhan pecah amanah, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Semua hukuman penjara dijalankan serentak. Tidak ada denda untuk tuduhan pengubahan wang haram.

Najib kelihatan tenang, sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya. Peguam pembelaan kemudian tampil memohon penangguhan pelaksanaan hukuman.


Polis tahan seorang pemuda cuba panjat pagar

6.25 petang: Seorang pemuda berusia 20-an ditahan polis di pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Walaupun belum ada kenyataan rasmi dari pihak polis, difahamkan lelaki yang memakai t-shirt berkolar merah jambu itu ditahan ketika cuba memanjat pintu pagar kompleks berkenaan.

Masih belum dapat dipastikan jika lelaki itu adalah salah seorang penyokong Najib Razak, yang berkumpul untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap bekas perdana menteri itu.

Suspek ditahan di dalam pos keselamatan mahkamah selama kira-kira 10 minit sebelum sebuah kereta peronda polis datang dan membawanya pergi.


Najib baca 'sumpah laknat' sekali lagi, nafi tahu RM42 juta

5.30 petang: Setelah pihak pembelaan dan pihak pendakwaan melengkapkan hujah mereka untuk mitigasi, tertuduh Najib Razak bercakap kepada mahkamah.

Beliau bermula dengan meringkaskan pencapaian ekonomi yang berjaya dilakukannya selama menjadi perdana menteri.

"Saya bertanggungjawab untuk menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), yang saya tidak pernah diberi penghargaan yang cukup. Saya mahu memastikan negara tidak (melakukan) salah guna kuasa.

"Dalam hal ini, saya mengemukakan cadangan untuk menerapkan sistem yang lebih telus bagi sumbangan politik. Sayangnya, cadangan itu memerlukan sokongan dua parti tetapi pembangkang pada masa itu tidak setuju dan cadangan itu akhirnya tidak dapat dilihat," katanya.

Beliau menyelesaikan kenyataan pendeknya dengan membacakan "sumpah laknat" sebelum menyatakan bahawa beliau tidak meminta wang RM42 juta itu.

"Sebagai orang Islam, wallahi wabillahi watallahi saya tidak meminta, saya tidak merancang (menerima) atau saya ditawarkan RM42 juta itu.

"Saya bersaksi kepada Allah saya juga tiada pengetahuan mengenai jumlah wang itu.

"Begitu juga tiada bukti atau saksi berhubung perkara itu," katanya.


Pihak pendakwaan minta Najib didenda RM420 juta, penjara

5.25 petang:​ Pihak pendakwaan meminta mahkamah mengenakan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, kira-kira lima kali jumlah yang terlibat dalam jenayah itu, dan hukuman penjara mandatori.

Mengenai jenayah pecah amanah, pihak pendakwa menuntut hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan denda, mengikut budi bicara mahkamah.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pihak pendakwaan menuntut hukuman penjara tidak lebih daripada 15 tahun dan denda RM210 juta, kira-kira lima kali jumlah yang terlibat dalam jenayah tersebut.


Pendakwaan 'beri tabik' kepada media

4.50 petang - Timbalan pendakwa raya, V Sithambaram berhujah semasa pendengaran mitigasi bahawa jika tidak kerana pihak media, jenayah yang mensabitkan Najib Razak mungkin tidak dapat dikesan.

Beliau berpendapat bahawa terdapat lapisan yang kompleks mengenai bagaimana RM42 juta itu dipindahkan ke akaun bank tertuduh.

"Kesalahan (pengubahan wang haram ini) hanya boleh berlaku kerana peranan dan kedudukan tertuduh sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

"Jika jenayah ini tidak didedahkan oleh media, jenayah ini mungkin tidak pernah dapat dikesan," katanya.


Hujah undang-undang kes

4.45 petang: Timbalan Pendakwa raya, V Sithambaram sekarang mengemukakan pelbagai undang-undang kes untuk menyokong hujahnya terhadap hujah pembelaan.

Beliau membawakan kes yang melibatkan pemimpin politik seperti (Allahyarham) Harun Idris, Dr Khir Toyo, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim.

"Ahli politik banyak memberi sumbangan untuk mempelajari hukum perundangan kita," kata Sithambaram, sambil tertawa kecil.


"Kami tak kisah berdiri dalam hujan untuk Bossku'

4.40 petang: Hujan gerimis mulai turun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di mana bekas perdana menteri Najib Razak disabitkan bersalah atas enam tuduhan jenayah yang berkaitan dengan SRC International.

Bagaimanapun sekumpulan kecil sekitar 30 penyokong tegar anggota parlimen Pekan itu terus berdiri di hadapan pintu masuk utama kompleks itu bagi menunjukkan sokongan mereka walaupun dalam hujan.

Ini termasuk sekumpulan wanita yang dipercayai anggota Wanita Umno, yang mengatakan bahawa mereka tidak keberatan berdiri dalam hujan untuk 'Bossku'


Tidak ada usaha kembalikan RM42 juta

4.15 petang: Pendakwaan berkata bahawa tidak ada usaha untuk mengembalikan wang RM42 juta.

V Sithambaram berhujah, wang berkenaan adalah milik SRC International dan Menteri Kewangan Diperbadankan.

"Alasan yang diberikan adalah siasatan sedang dilakukan. Tetapi walaupun setelah peguam negara membebaskannya dari salah laku, masih belum ada langkah yang diambil untuk mengembalikan wang tersebut.

"Jelas sekali tidak ada niat untuk mengembalikan wang - RM42 juta yang berasal dari KWAP.

"Kes ini mencemarkan negara sebagai kleptokrasi. Saya tidak fikir rakyat Malaysia mahukannya," kata Sithambaram.


'Hukuman untuk kes terburuk pernah dibayangkan'

4.08 petang: Pendakwaan kini membalas pernyataan mitigasi (mengurangkan hukuman) oleh pembelaan.

V Sithambaram berkata tertuduh memegang jawatan paling berkuasa di Malaysia selama hampir satu dekad sebagai menteri kewangan dan perdana menteri.

"Tertuduh mempunyai kewajipan fidusiari dan moral untuk melaksanakan kewajibannya kepada rakyat.

"Keyakinan ini menunjukkan dia gagal dalam hal itu," katanya.

Sehubungan dengan itu, Sithambaram ingin mahkamah menggunakan kes ini sebagai pendahulu (precedent) bagi mereka yang memegang jawatan awam supaya tidak mengatasi undang-undang.

Sithambaram berkata, pensabitan itu mesti menjadi pertimbangan utama dan tugas mahkamah adalah melaksanakan matlamat Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Dalam kes ini, hukuman itu harus melihat hukuman yang tersedia untuk kes terburuk yang dapat dibayangkan.

"Ini pasti merupakan satu kes," kata Sithambaram, sambil menekankan bahawa kes ini melibatkan wang RM42 juta.


99.9% wang tak dibelanja untuk diri sendiri - Shafee

3.50 petang: Pasukan pembelaan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh akan membuat pernyataan kepada mahkamah setelah pasukan pendakwa membalas permohonan mitigasi (mengurangkan hukuman) oleh pembelaan.


3.30 petang: Shafee berkata 99.9 peratus wang digunakan tertuduh bukan untuk dirinya.

Katanya 45 peratus dibelanjakan untuk tujuan politik, yang termasuk kebajikan dan perkhidmatan lain.

Katanya, kumpulan kebajikan menerima sekitar 13.7 peratus.

Walaupun 0.4 peratus digunakan untuk bayaran kad kredit, Shafee berkata, wang itu digunakan untuk membeli hadiah kepada pemimpin asing.

“Hadiahnya agak mahal kerana beliau tak dapat berikan sebakul kain selendang,” Shafee.


Tertuduh bukan orang korporat - Shafee 

3.20 petang: Shafee berkata tertuduh bukan orang korporat dan menjangkakan anggota lembaga pengarah SRC International dan 1MDB bertindak profesional.

“Jika beliau bersalah, salahnya cuma kerana percaya orang yang sepatutnya menguruskan syarikat - 1MDB dan SRC International.

“Dalam beberapa hal, beliau terlalu percaya,” katanya.


Pembelaan: Najib kerjasama dengan penyiasat sejak 2015

3.15 petang: Ketika proses migitasi, Shafee berkata tertuduh bekerjasama dengan penyiasat sejak 2015 dan memulakan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara terhadap 1MDB dan SRC International.

“Dalam semua siasatan oleh badan seperti parlimen, bukan petunjuk gangguan terhadap saksi,” katanya.


Penyokong kurang lepas arahan penjarakan sosial

3.15 petang: Tidak banyak penyokong Najib kekal memberikan sokongan padanya di luar mahkamah seperti di sebelah pagi.

Ini susulan arahan penjarakan sosial dibuat bagi mengelakkan penyebaran Covid-19.


Hakim tolak permohonan tangguh migitasi kepada Isnin depan

3.05 petang: Hakim menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan proses migitasi kepada Isnin depan dan mahu ia diteruskan sekarang.


Pendakwaan: Mahkamah harus hukum selepas sabitkan kes

2.50 petang: Ketua pasukan pendakwaan V Sithambaram membantahan permohonan menangguhkan prosiding.

Katanya, Seksyen 183 Kanun Tatacara Jenayah jelas menyebut bahawa mahkamah terikat dengan tanggungjawab menjatuhkan hukuman selepas sabitan kes.

Katanya, status jaminan sebelum sabitan tidak sama dengan sebelum sabitan kes.


Najib bayar wang jaminan RM6 juta

2.45 petang: Ketika pendengaran untuk menangguhkan migitasi, peguam bela Shafee Abdullah berkata anak guamnya tidak berisiko lari ke luar negara dan jaminan patut dikekalkan.

Shafee berkata Najib membayar jaminan sebanyak RM6 juta dengan pasport diserahkan kepada mahkamah dan disenarai hitam oleh pihak imigresen daripada ke luar negara.

“Sebagai bekas perdana menteri, dia ada polis pengiring. Polis akan selalu pantau. Jika dia cuba lari, mereka akan maklumkan segera pada IGP,” kata Shafee.


Prosiding bersambung

2.20 petang: Prosiding mahkamah bersambung selepas rehat makan tengah hari.

Pasukan pembelaan dijadual menyerahkan permohonan untuk menangguhkan mitigasi (memohon hukuman lebih ringan) kepada Isnin depan.


Perintah patuhi SOP

1.10 petang: Polis mengeluarkan amaran kepada penyokong Najib Razak serta petugas media agar mereka mematuhi semua prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Ia dibuat selepas sekumpulan penyokong Najib mula berkerumun di depan pintu masuk kompleks mahkamah dan menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap apa yang berlaku.


Najib bersalah atas semua pertuduhan

12.17 tengah hari: Mahkamah memutuskan Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan meliputi salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta daripada SRC International.

Hakim berkata pasukan pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

“Saya dengan ini mendapati tertuduh bersalah atas ketujuh-tujuh pertuduhan,” katanya.


Najib gagal bangkitkan keraguan munasabah terhadap 3 pertuduhan CBT

12.12 tengah hari: Hakim berkata Najib gagal membangkitkan keraguan munasabah terdapat kes pendakwaan terhadap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berkaitan pemindahan RM42 juta ke dalam akaunnya.


Najib tak hantar nota ‘terima kasih’ pada Raja Abdullah

11.52 pagi: Hakim berkata tertuduh tidak menghantar nota “terima kasih” atas dakwaan menerima RM2.6 bilion (berdasarkan kadar tukaran asing ketika itu) daripada Raja Abdullah.


Tertuduh tak sahkan ‘derma’ dengan Arab Saudi

11.50 pagi: Hakim berkata tertuduh tidak meminta kepada pegawai-pegawaI kerajaan, terutamanya daripada Jabatan Perdana Menteri, untuk mengesahkan kesahan “derma” itu dengan pihak Arab Saudi.


‘Tak konsisten’

11.45 pagi: Hakim berkata: “All roads lead to Rome and (the accused) lead it to Riyadh.” (Semua kekayaan pergi kepada Rom dan (tertuduh) mengarahkannya ke Riyadh.)

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pasukan pembelaan bahawa tertuduh menyangka bahawa wang dalam akaun banknya adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Hakim berkata hanya selepas itu Jho Low maklumkan berkaitan hasrat Raja Abdullah untuk menderma.

“Tak konsisten dengan apa yang Raja Abdullah kata di Riyadh,” kata hakim.


Hakim: Sukar untuk cadangkan Najib jadi mangsa Jho Low

11.35 pagi: Hakim berkata Jho Low sepenuhnya faham peranannya dan tiada keraguan bahawa dia berurusan dengan akaun bank Najib.

Katanya sukar untuk mencadangkan Najib sebagai mangsa penipuan Jho Low.


RM42 juta tak dipulangkan: Najib tak bertindak, kata hakim

11.25 pagi: Mohd Nazlan berkata tertuduh tidak bertindak dalam isu pengembalian dana SRC sebanyak RM42 juta atas alasan siasatan masih berjalan.

Hakim berkata tertuduh dimaklumkan bahawa dana itu daripada SRC dan sebagai menteri kewangan beliau ialah pemilik syarikat itu daripada aspek undang-undang.


Tertuduh berhubung dengan Jhow Low

11.15 pagi: Hakim berkata tertuduh tahu berkaitan transaksi wang ke dalam akaun di AmBank Islamic tetapi tidak mendedahkannya.

Berkaitan akaun bank, hakim berkata Jho Low dan ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alias saling berhubung dengan tertuduh.


Hakim: Najib dan SRC tak ambil tindakan undang-undang pada Ambank Islamic

11.10 pagi: Saksi berkata SRC dan tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap AmBank Islamic.

“Tanpa bantahan, tidak terdapat sebarang tanda-tanda (salah laku),” kata hakim.


Hakim: Pasukan pembelaan gagal bangkitkan keraguan munasabah

10.59 pagi: Hakim berkata pasukan pembelaan gagal menolak anggapan berdasarkan Akta SPRM 2009 berkaitan imbangan kebarangkalian dan gagal membangkitkan keraguan munasabah bawah Section 23(1) akta itu.


10.45 pagi: Hakim berkata bukti-bukti menunjukkan tertuduh tidak memulakan usaha mendapatkan kembali dana SRC daripada Switzerland, walaupun berkata akan ditangani secara kerajaan kepada kerajaan.


Hakim: Pinjaman KWAP pada SRC diluluskan dengan 'tergesa-gesa'

10.30 pagi: Hakim berkata tiada pertikaian bahawa kabinet meluluskan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM2 bilion kepada SRC International secara “tergesa-gesa”.

Hakim berkata permohonan Najib, ketika itu menteri kewangan yang bertanggungjawab terhadap KWAP, disampaikan kepada panel pelaburan badan itu.


Tertuduh terlibat dalam penubuhan SRC

10.20 pagi: Hakim berkata tertuduh terlibat dalam penubuhan SRC International Sdn Bhd.


Keputusan mula disampaikan

10.18 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mula menyampaikan keputusan dalam kes SRC bernilai RM42 juta terhadap Najib.


10.17 pagi: Prosiding bermula.


Periksa suhu badan

10.11 pagi: Berdepan dengan kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perkarangan Masjid Wilayah, dilihat lima khemah dipasang bagi penyokong semua berehat.

Makanan dan minuman juga disediakan dan penyokong juga dikehendaki memeriksa suhu badan dan mendaftarkan diri.

Penyokong yang ditugaskan memeriksa suhu badan penyokong dan memeriksa sekiranya terdapat gejala tidak sihat.

Selain itu, turut berada dalam perkarangan Masjid Wilayah merupakan YDP PAS Kawasan Pekan Abu Kassim Manap bersama beberapa ahli PAS lain.

Ditanya berkenaan keputusan Najib, beliau berharap keputusan bekas perdana menteri itu tidak dicampur oleh politik.

“Saya harapkan kemenangan yang adil, tiada campur tangan. Saya yakin Bossku (Najib) akan baik baik sahaja. Insya-Allah,” katanya lagi. 

Najib masuk ke mahkamah

9.58 pagi: Najib masuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan duduk di barisan depan tempat duduk awam.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi duduk di sebelahnya.


9:50 pagi: Pemimpin akar umbi lantang Umno Jamal Md Yunos memberitahu media bahawa keputusan hari ini akan memberi kesan kepada kerajaan PN secara keseluruhan.

“Kes ini bukan hanya mengadili Najib Razak, tapi juga mengadili PN,” katanya.


Laungan 'Bossku' sambut Najib di mahkamah

9.26 pagi: Ketibaan Najib disambut dengan laungan “Bossku” serta selawat daripada penyokong.

Keadaan agak sesak kerana ramai dilihat ingin bergambar dengan bekas perdana menteri itu.

Najib yang memakai sut coklat dan pelitup muka kemudian diiringi dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memasuki Mahkamah itu. 


Ahmad Maslan: Kebenaran akan ditegakkan

9.05 pagi: Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menyatakan harapannya agar bekas perdana menteri, Najib Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas semua tuduhan, hari ini.

"Saya harap kebenaran akan ditegakkan, dan beliau akan dibebaskan oleh mahkamah hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Ahmad, yang ditemani oleh sekumpulan penyokong Najib, menunggu pengerusi majlis penasihat BN itu tiba untuk mendengar keputusan kes.

Ahmad juga membaca puisi yang ditujukan kepada kerajaan sekarang dan pemerintahan Pakatan Harapan sebelumnya, dengan membawa mesej agar mereka tidak menyalahgunakan sistem.


Banyak bas dari Pekan, Pahang

8.48 pagi: Cuaca baik. Penyokong Najib membanjiri Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan terhadap bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno itu.

Ada daripada mereka yang hadir sejak semalam lagi.

Seorang penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Norazihan, 58, berkata dia dan suaminya telah menaiki bas pada jam 11 malam daripada Pekan, Pahang.

Pagi ini, katanya, mereka telah menunggu di mahkamah sejak pukul 6 pagi.

Katanya, sebanyak enam buah bas bertolak daripada Pekan malam tadi.

Laungan “Bossku” kedengaran dilaungkan di mahkamah.

Rata-rata mereka memakai pelitup muka tetapi kurang menjaga penjarakan sosial.

[Laporan penuh menyusul]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.