Malaysiakini
BERITA

PM lancar Bulan Kebangsaan, kempen kibar Jalur Gemilang

Diterbitkan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Sebaik tiba, bacaan doa akan diadakan sebelum Muhyiddin menyampaikan amanat sempena majlis pelancaran itu diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku.

Ia akan diiringi pancaragam Angkatan Tentera Malaysia sebelum persembahan lagu tema sambutan Malaysia Prihatin oleh kumpulan Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia.

Perdana menteri kemudian akan melepaskan kembara Info On Wheels (IOW) Merdeka.

Program kembara IOW Merdeka bertujuan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai peringkat, hebahan mesej kenegaraan, menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang di samping sebahagian pengisian Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Selain di Putarajaya, program yang sama turut diadakan di peringkat negeri dengan majlis pelancaran disempurnakan oleh menteri besar masing-masing iaitu Perak, Johor, Selangor, Kelantan, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Perlis.

Acara sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini diadakan secara sederhana berikutan pandemik COVID-19 menyaksikan tiada acara perbarisan dilakukan seperti kelaziman.

Selain majlis pelancaran itu, dua lagi acara utama yang akan turut diadakan adalah Sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 Sept.

Sebelum itu turut diadakan sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bermula 9 Julai lalu.

-Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.