Malaysiakini
BERITA

Umno: Kembalikan Jasa 'tebus dosa' kerajaan PH

Diterbitkan

Cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) adalah satu keputusan yang tepat, kata Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan.

Menurutnya, ia bagi ‘menebus dosa’ kerajaan terdahulu yang bertindak zalim dengan justifikasi yang sangat lemah.

"Secara peribadi saya ingin mengucapkan ucapan setinggi terima kasih dan bersyukur apabila timbalan menteri komunikasi dan multimedia, mengumumkan cadangan untuk menghidupkan semula Jasa yang terbukti banyak jasanya kepada negara.

"Rasanya sebahagian besar rakyat Malaysia masih ingat episod hitam pembubaran Jasa, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (Pemandu) dan beberapa agensi atau sektor lain sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

"Kesannya, ribuan pekerja dalam sektor-sektor itu terutama kakitangan kontrak diberhentikan. Ini membuatkan pintu rezeki utama mereka tertutup seterusnya terkapai-kapai ditinggalkan mencari jalan kelangsungan hidup bersama keluarga," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Timbalan Menteri KKMM, Zahidi Zainul Abidin dilaporkan berkata kerajaan merancang untuk mengaktifkan kembali agensi itu sebagai keutamaan pengambilan petugas adalah mereka yang pernah berkhidmat dengan Jasa sebelum ini.

‘Kezaliman’ PH jelas

Sementara itu Shahril menegaskan “kezaliman” kerajaan terdahulu cukup jelas apabila meletakkan beban hutang negara yang kononnya mencecah nilai triliun ringgit sebagai justifikasi penamatan kerja seperti dinyatakan awalnya.

"Akhirnya penggunaan alasan 'hutang menggunung negara' terbongkar apabila 'perdana menteri Interim' (Dr Mahathir Mohamad) sendiri telah meluluskan bajet khas sebanyak RM20 bilion sewaktu negara menghadapi krisis pandemik Covid-19.

"Bukan itu sahaja, pengakuan beliau bahawa negara punyai wang lebih RM2 triliun untuk dibelanjakan dalam situasi kritikal sangat-sangat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia yang sebelum ini dimomok-momokkan dengan hutang yang tak kunjung surut," jelasnya.

Beliau turut mendakwa keputusan kerajaan menamatkan kontrak pekerjaan bukanlah kerana faktor hutang negara sebaliknya memenuhi tuntutan ahli politik DAP terutama bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.