Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada penyokong Najib ‘naik angin’ dengan keputusan mahkamah

Najib Razak kelihatan tenang ketika mahkamah memutuskan beliau bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan terhadapnya berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, di luar mahkamah, penyokongnya ternyata naik angin dan sukar menerima nasib yang melanda tokoh dikagumi mereka itu.

Selepas mendapat tahu keputusan, penyokong yang berada di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak enam pagi tadi mula menjerit menyatakan perasaan tidak puas hati mereka.

Laungan seperti “Bossku tak bersalah”, “mahkamah tak adil”, “Tun (Dr Mahathir Mohamad” kejam” dilaungkan.

Beberapa penyokong Najib- yang turut dikenali dengan panggilan ‘Bossku’ - memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak boleh menerima keputusan itu.

Asmah (memakai pelitup muka merah jambu)

Penyokong Najib yang berasal dari Pekan, Asmah Sulaiman, 58, berkata keputusan tersebut tidak adil.

“Ini tidak adil! Datuk Seri (Najib) tak bersalah. Bossku (Najib) orang baik,” katanya dengan nada yang tinggi.


Selain itu, penyokong daripada Gombak yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad (atas), 32, pula menegaskan Najib harus mengemukakan rayuan.

“Bossku kena rayu balik. Ini ada salah. Tak kira! bossku kena rayu,” katanya lagi.

Penyokong daripada Gombak yang hanya mahu dikenali sebagai Reen pula berkata dia tetap akan bersama dengan Najib kerana beliau “orang baik”.

“Apa-apa pun yang terjadi. Kami (penyokong) dan saya tetap akan sokong Bossku sampai mati,” katanya dengan menitis air mata.

Seorang warga emas yang mengaku sebagai penyokong tegar Najib, Putri Maslia turut meledak kemarahan setelah mendapat tahu keputusan tersebut.

“Ini sudah salah! Datuk Seri (Najib) banyak tolong saya dulu. Kes SRC untuk bantu orang susah, dan dia bantu saya,” katanya yang berkerusi roda.

Sebentar tadi, mahkamah memutuskan Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan meliputi salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta daripada SRC International.

Sementara itu, ada juga yang dilihat tenang setelah mendapat tahu keputusan.

Penyokong dari Pekan, Zubaidah turut memberitahu bahawa dia mendoakan yang terbaik buat Najib.

“Keputusan dah dapati Bossku (Najib) bersalah. Tak adil. Tapi saya harap Najib merayu dan saya doakan yang terbaik buatnya,” katanya lagi.

Ramai ribu penyokong yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap bekas perdana menteri itu.

Lihat Komen
ADS