Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak menjadikan perbezaan kaum, budaya, agama mahupun warna kulit sebagai halangan untuk terus memperkukuhkan perpaduan yang sedia terjalin.

Beliau berkata rakyat seharusnya mencari titik persamaan dan nilai-nilai murni untuk memastikan kesatuan dan keharmonian Malaysia yang sedia terjalin ketika ini dapat dikekalkan demi manfaat generasi penerus kemerdekaan negara pada masa akan datang.

Mohd Shafie berkata pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu telah banyak berkorban dan menggembleng segala tenaga untuk membebaskan negara tercinta daripada belenggu penjajah bagi memastikan generasi Malaysia pada hari ini mempunyai masa depan lebih baik.

"Justeru, penting bagi generasi hari ini meneruskan perjuangan murni para pejuang kemerdekaan terdahulu dengan terus memupuk semangat kecintaan kepada negara. Kita perlu memperkasa negara ini dengan nilai-nilai yang baik, bukan hanya melalui laungan tetapi juga amalan memperkukuhkan perpaduan.

"Kita perlu mencurahkan khidmat bakti kepada negara... Kita memimpin dan membangunkan negara bukan hanya untuk generasi hari ini (tetapi juga) untuk memastikan rakyat pada masa akan datang mendapat manfaat besar daripada apa yang telah diperjuangkan sekarang," katanya ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor yang mempengerusikan secara bersama jawatankuasa induk majlis pelancaran berkenaan.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Datuk Christina Liew, menteri-menteri Kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan majlis itu, Mohd Shafie berkata program seumpama itu adalah platform bagi menyemarakkan seterusnya menggelorakan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, yang merupakan satu daripada lambang identiti sesebuah negara, dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Beliau juga meminta program menyemarakkan Bulan Kebangsaan diadakan di peringkat daerah bagi membolehkan segenap lapisan masyarakat di semua kawasan menghayati nilai kemerdekaan bagi terus melahirkan rakyat makmur dan sejahtera.

Terdahulu, para hadirin mengikuti amanat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Putrajaya disiarkan secara langsung menerusi RTM, sebelum majlis pelancaran peringkat negeri diteruskan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah diiringi nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

Mohd Shafie kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil 21 jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, seterusnya menyempurnakan gimik pelancaran memaparkan tema Bulan Kebangsaan ‘Malaysia Prihatin’, sebelum majlis diakhiri dengan persembahan koir oleh Perbadanan Pinjaman Sabah yang menyanyikan lagu Jalur Gemilang.

Pelancaran diadakan dalam suasana sederhana tetapi meriah itu dihadiri seramai 250 tetamu jemputan dengan menerapkan pematuhan kebiasaan baharu dan SOP ditetapkan termasuk penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

- Bernama