‘Keputusan SRC adalah keadilan buat rakyat’
Ahli politik Pakatan Harapan dan wartawan yang mendedahkan skandal kewangan 1MDB menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung kes penyelwengan dana RM42 juta SRC International sebagai wajar dan keadilan buat semua rakyat Malaysia.
Dalam satu siri tweet, Ahli Parlimen Damansara, Tony berkata ia adalah "keadilan buat rakyat Malaysia" dengan keputusan mahkamah yang mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas semua tujuh pertuduhan.
“7 untuk 7!!!#salahgunakuasa x 1#pecahamanah x 3#pemgubahanwangharam x 3
“Berdekad-dekad di penjara, sebatan dan denda jutaan ringgit! #keadilanbuat rakyat Malaysia,” ciapnya.
Bagi ahli politik DAP itu, penghakiman berkenaan adalah "wajar" kerana Najib telah menyalahgunakan kuasa.
Naib presiden PKR dan bekas anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas penghakiman itu, dengan berkata bahawa mendedahkan skandal 1MDB itu adalah sesuatu yang "berbaloi".
“Saya sekarang jarang sekali mengulas mengenai politik semasa ini.
“Tetapi saya menghabiskan bertahun-tahun di barisan hadapan menangani skandal 1MDB dan SRC sebagai ahli Parlimen.
“Saya tidak pernah mengharapkan banyak kejayaan sejak dari dulu, tetapi saya merasakan bahawa semua pengorbanan itu sangat berbaloi hari ini,” katanya.
Wartawan Wall Street Journal Tom Wright, yang bersama-sama mengarang buku Billion Dollar Whale mengenai skandal 1MDB, sekadar menyebut keputusan itu sebagai "keadilan".
Clare Rewcastle Brown dari Sarawak Report pula memberitahu Free Malaysia Today bahawa keputusan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali "menghancurkan" Najib.
"Sekurang-kurangnya mahkamah kekal bebas.
"Saya sangat suka apabila hakim itu menyebut bahawa tentunya Najib akan mengirim ucapan terima kasih kepada Raja Arab Saudi jika dia berfikir wang itu datang dari sana," katanya merujuk kenyataan hakim ketika menyampaikan penghakimannya pagi ini.
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya juga menyebut keputusan itu sebagai satu "keadilan" dan mengucapkan terima kasih kepada bekas rakan-rakannya di agensi anti-rasuah berkenaan.
“Keadilan ditegakkan. Kita semua dapat berterima kasih kepada para pahlawan sejati dari setiap peringkat SPRM yang berisiko besar menyiasat & membina kes ketika Najib masih berkuasa. Tahniah juga kepada pasukan pendakwaan,” katanya.

