Malaysia kembali mencatatkan kes harian dua digit, dengan yang terbaru hari ini sebanyak 39 kes baru.

Jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak 15 Jun (41 kes).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa daripada 39 kes baru itu, 28 merupakan jangkitan tempatan dan 11 kes import baru.

KKM juga melaporkan kemunculan dua kluster Covid-19 baru iaitu Kluster Satok di Sarawak dan kluster PUI Sivagangga di Kedah.

Kluster Satok mencatatkan empat kes baru yang melibatkan rakyat Malaysia sementara kluster PUI Sivagangga menyaksikan lima kes baru yang melibatkan satu rakyat Malaysia dan empat bukan warganegara.

Jangkitan tempatan baru yang lain dari kluster yang ada adalah kluster Sentosa (sembilan kes), kluster kejuruteraan Kuching (empat kes), kluster Mambong (satu kes) dan kluster PUI Melbourne (satu kes), semuanya ada di Sarawak.

Semua kecuali dua adalah rakyat Malaysia. Empat jangkitan tempatan lain, juga rakyat Malaysia, terdiri dari dua kes masing-masing dari lapangan terbang dan pemeriksaan sendiri di Sarawak serta dua lagi dari pemeriksaan individu berisiko tinggi di Sabah.

Mengulas mengenai kluster baru, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata kluster PUI Sivagangga bermula ketika kes indeks, seorang pemastautin tetap, kembali ke Malaysia dari India pada 13 Julai.

Ketika saringan di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA, dia didapati negatif dan diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Namun, kata Noor Hisham, individu itu didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut.

"Saringan ulangan didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan," katanya.

Sehingga 28 Julai, sebanyak 28 kontak rapat telah disaring, dengan lima dikesan positif dan 23 negatif.

Kes indeks itu juga merupakan seorang pemilik kedai makan. Empat orang daripada kes positif dalam kluster ini adalah pekerja kedai tersebut yang merupakan bukan warganegara manakala seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks.

"Kesemua kes positif ini berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks. Premis yang dikenal pasti ini telah ditutup bagi proses pembersihan dan nyah kuman," katanya.

Mengenai kluster Satok, Noor Hisham mengatakan ia ditemukan di pasar tempatan di Satok, Kuching, yang sejak itu ditutup bagi kerja pembasmian kuman.

Noor Hisham berkata sehingga hari ini, 229 orang telah diuji, di mana empat orang didapati positif tetapi tidak bergejala.

Kesemua mereka telah ditempatkan di Hospital Umum Sarawak.

Baki 225 yang diuji didapati negatif.

Bagi 11 kes import, Noor Hisham berkata mereka terdiri daripada empat rakyat Malaysia dan tujuh bukan warganegara yang kembali dari Arab Saudi (1), Ireland (1), Korea Selatan (2), India (1), Rusia (1), AS ( 1), Amerika Selatan (1), United Kingdom (2) dan Filipina (1).

39 jangkitan baru hari ini menjadikan kes kumulatif pada 8,943, di mana 8,607 atau 96,2 peratus telah pulih.

Ini termasuk enam kes pulih baru hari ini.

Kini terdapat 212 pesakit Covid-19 yang dirawat, dengan salah seorang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan di unit rawatan rapi (ICU).