Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan Najib untuk tangguh mitigasi
Diterbitkan:  Jul 28, 2020 5:52 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak untuk mendengar rayuan bagi mengurangkan hukuman pada Isnin depan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata beliau menerima hujah bahawa terdapat situasi yang membolehkan pendengaran rayuan bagi mengurangkan hukuman ditangguhkan namun tertuduh perlu memberikan alasan yang munasabah bagi menjustifikasikan penangguhan itu.

"Saya tidak menganggap hujah yang diberikan ada justifikasi. Tertuduh masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan, oleh itu mahkamah ini akan meneruskan prosiding dengan mendengar rayuan tertuduh bagi mengurangkan hukuman," kata Mohd Nazlan.

Terdahulu, hakim itu memutuskan bahawa bekas perdana menteri tersebut bersalah atas tujuh pertuduhan terdiri daripada kesalahan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada prosiding petang ini, peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah merujuk tiga kes yang menyaksikan mahkamah menangguhkan pendengaran rayuan bagi meringankan hukuman ke tarikh lain selepas mensabitkan tertuduh.

"Ini telah dilakukan di hampir semua mahkamah rendah. Mahkamah rendah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan untuk meringankan hukuman bagi membolehkan kedua-dua pihak melakukannya dengan sempurna dan fakta tertentu diperjelas," kata peguam itu.

Ketika merujuk satu lagi kes, Muhammad Shafee berkata hukuman dijatuhkan pada hari lain dan ia adalah satu prosedur biasa.

"Di Amerika Syarikat, dalam kes bunuh, hukuman dijatuhkan pada tarikh berasingan,” katanya.

Pada peringkat ini, Mohd Nazlan menyoal peguam itu sama ada kebanyakan kes yang dirujuknya membabitkan tertuduh yang berada dalam tahanan.

Muhammad Shafee menjawab tidak semua tertuduh berada dalam tahanan sementara menunggu pendengaran rayuan bagi meringankan hukuman dan jatuh hukum.

"Malah seorang Timbalan Pendakwa Raya kanan yang tidak mahu dikenali mengesahkan kepada saya bahawa adalah menjadi prosedur rutin di mahkamah rendah menetapkan tarikh lain untuk mendengar rayuan bagi meringankan hukuman dan menjatuhkan hukuman," katanya.

Mohd Nazlan: Apa status tertuduh?

Muhammad Shafee: Yang Arif boleh katakan bahawa jaminan dilanjutkan.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V. Sithambaram pula berkata sesetengah kes yang dirujuk Muhammad Shafee membabitkan tertuduh yang mengaku bersalah.

Beliau berkata mahkamah perlu mengenakan beberapa syarat ke atas tertuduh jika penangguhan dibenarkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS