Aktivis Tangkap Najib imbas kembali pengalaman ditahan
Aktivis himpunan Tangkap Najib Mandeep Singh menyambut baik keputusan mahkamah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak semalam, menyifatkannya sebagai kemenangan buat rakyat Malaysia.
"Hari ini (semalam), Najib secara rasminya seorang penjenayah. Dia didapati bersalah oleh mahkamah atas salah guna kuasa dan pecah amanah.
"Ini semua menjadi mungkin kerana kita, rakyat Malaysia. Perjuangan belum berakhir tetapi ini adalah satu kemenangan besar buat kita," katanya dalam satu hantaran Facebook semalam.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan - satu salah guna kuasa, tiga pecah amanah dan tiga pengubahan wang haram - berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Pihak pembelaan telah menyuarakan hasrat untuk membuat rayuan - satu proses yang menurut pendakwaan boleh mengambil masa setahun.
Sementara itu, Mandeep mengimbas kembali pengalamannya ditangkap polis pada 31 Julai 2015, sebaik sebelum himpunan Tangkap Najib diadakan pada hari berikutnya.
"Saya bukan saja berkongsi pengalaman ditahan tetapi untuk memberitahu ketidakadilan terhadap aktivis ketika melawan Najib Razak," katanya.

Himpunan Tangkap Najib yang dianjurkan gabungan aktivis yang menggelarkan diri sebagai Demi Malaysia bertujuan untuk menyuarakan protes terhadap Najib ekoran dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.
Beberapa minggu sebelumnya, Wall Street Journal melaporkan Najib menerima hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion ketika itu) dana berkaitan 1MDB ke dalam akaun peribadinya.
Najib juga telah mengambil tindakan terhadap pengkritik, termasuk timbalan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin, selain melantik Mohd Apandi Ali sebagai peguam negara bagi menggantikan Abdul Gani Patail.
Apandi kemudian membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan berkaitan 1MDB.

Menurut Mandeep, pada 31 Julai 2015, dia menghadiri himpunan solidariti terhadap The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily yang digantung permit ekoran laporan berkenaan skandal 1MDB.
Katanya lagi, dia menerima panggilan daripada pejabatnya yang memberitahu polis sedang mencarinya, dan tidak lama kemudian dimaklumkan sejumlah aktivis Demi Malaysia lain telah ditangkap.
Dia kemudian terus menghubungi Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan peguam latheefa Koya dan memberitahu Latheefa bahawa dia mahu menyembunyikan diri kerana mahu menghadiri himpunan keesokannya.
"Tetapi Lat Koya kata 'Tak boleh! Anda perlu ke balai polis, Mandeep'. Saya akur dan telefon Maria untuk ambil saya di pejabat untuk ke Balai Polis Petaling."
Katanya, apabila bertemu aktivis lain iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Shukri Abdul Razak yang turut ditahan, mereka hanya ketawa.
"Saya katakan pada mereka sudah beritahu kawan-kawan untuk ke himpunan esok. Mereka senyum dan berkata 'mereka pasti datang'."
Keesokannya, ketika di lokap polis Jinjang, Mandeep berkata seorang anggota polis datang ke lokapnya dan beritahu "ramai kawan-kawan anda ditahan, mungkin 40 orang".
"Saya senyum dan kata 'nampaknya kami berjaya'. Dan dia jawab 'tahniah'."
Mandeep, Adam dan Shukri dibebaskan pada 4 Ogos 2015 selepas peguam berjaya mencabar perintah reman mereka. Himpunan Tangkap Najib berlangsung pada 1 Ogos 2015 di sekitar Kompleks Membeli-belah Sogo. seramai 29 orang ditahan.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd, sebuah subsidiari 1MDB.
Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Bagaimanapun hakim membenarkan hukuman ditangguh sementara menunggu rayuan Najib.

