Covid-19: 13 kes baru, lapan kes import, kematian kekal 124 kes
Sebanyak 13 kes jangkitan baru Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari ini dengan lapan daripadanya melibatkan kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak berkenaan adalah sebanyak 220 kes dan jumlah keseluruhan sebanyak 8,956 kes.
"Ingin dimaklumkan daripada 13 kes baru yang dilaporkan, lapan kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Lapan kes import tersebut adalah dari United Kingdom (2 kes di Kuala Lumpur); India (2 kes di Kuala Lumpur); Filipina (1 kes Kuala Lumpur); Pakistan (1 kes di Kuala Lumpur); Gambia (1 kes di Selangor); dan Ukraine (1 kes di Selangor).
Beliau berkata, daripada lima kes penularan di dalam negara, tiga kes membabitkan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.
Penularan dalam negara di kalangan warganegara Malaysia pula membabitkan satu kes di Johor (saringan di tempat kerja iaitu sign-off kapal); satu kes di Sarawak (Kluster Sentosa) dan satu kes di Sabah (kes saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu).
Bagi kes jangkitan dalam negara (2 kes) di kalangan bukan warganegara pula melibatkan satu kes di Sarawak (Kluster Mambong) dan satu kes di Perlis (kes saringan Pendatang Asing Tanpa Izin sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Kangar).
Kluster Mambong dan Sentosa di Sarawak
Mengenai status terkini Kluster Mambong dan Kluster Sentosa di Sarawak, seramai 198 orang disaring di dalam Kluster Mambong melibatkan 188 warganegara dan 10 bukan warganegara.
“Daripada jumlah itu, tujuh dikesan positif Covid-19, dengan dua kes terdiri daripada bukan warganegara, dan sehingga kini 191 didapati negatif,” katanya.
Bagi Kluster Sentosa, Dr Noor Hisham berkata seramai 1,026 orang telah disaring dengan 31 dikesan positif COVID-19, 888 negatif dan 107 masih menunggu keputusan.
“Kluster ini telah melibatkan kes sehingga generasi kedua. Punca jangkitan adalah masih di dalam siasatan, namun, hasil siasatan awal mendapati bahawa kemungkinan besar punca adalah daripada aktiviti di dalam komuniti,” katanya.
Selain itu, lima kes lagi dilapor pulih dengan jumlah yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,612 kes.
Setakat tengah hari tadi, dua kes positif Covid-19 masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala satu kes memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau juga memaklumkan tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kekal sebanyak 124 kes.


