Ahli Dewan Undangan Negeri Sabak, Ahmad Mustain Othman, yang dipecat daripada Amanah masih menyokong Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
“Ya, dia masih menyokong kerajaan PH setakat ini hasil daripada perbincangan saya sebelum ini dan hasil perbualan telefon di antara beliau dan pegawai saya," katanya pada sidang media pembentangan laporan Kempen Selangor E-Bazar Raya bersama Shopee di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai status Adun Sabak yang dipecat atas kesalahan melanggar disiplin.
Setiausaha Agung Amanah Dr Mohd Hatta Ramli ketika mengumumkan perkara tersebut berkata pemecatan itu dibuat Lembaga Tatatertib parti selepas mendapati Ahmad Mustain melanggar Fasa 21.12 perlembagaan parti.
Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor berkata pihaknya bagaimanapun tidak mempunyai rancangan untuk mengajak Adun Sabak itu menyertai PKR.
Sementara itu, beliau berkata pengisian dua jawatan exco kerajaan negeri yang masih kosong akan diumumkan selepas Aidiladha ini.
- Bernama
