Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Situasi politik di Sabah, yang kini menuju pilihan raya negeri selepas pembubaran DUN, telah mendominasi tajuk utama berita sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Namun, isu melompat parti dan percubaan untuk menukar kerajaan negeri bukanlah fenomena baru dalam politik di Sabah. Kejadian serupa berlaku termasuk pada pilihan raya umum 2018.

Malah, kejadian bekas ketua menteri Musa Aman terkandas di pintu istana - ketika dia berusaha untuk bertemu dengan Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk merayu agar DUN tidak dibubarkan dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri - juga mengimbau kejadian serupa sebelum ini.

Walaupun dalam konteks berbeza, kejadian itu mempunyai persamaan dengan pengalaman pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan susulan pilihan raya pada 1985 dan 1994.

Pilihan raya 1985 dan 1986

Pilihan raya negeri pada April 1985 menyaksikan parti berusia  47 hari yang dipimpin Joseph Pairin Kitingan memenangi pilihan raya.

PBS berjaya mengalahkan Parti Bersatu Jelata Sabah (Berjaya) dipimpin Harris Salleh yang mendapat sokongan Umno.

Sebelum itu, Pairin, yang banyak mengetengahkan isu masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah berselisih dengan Harris menyebabkan dia digugurkan dari kabinet pada 1982.

Joseph Pairin Kitingan

Turut bertanding pada pilihan raya negeri 1985 itu ialah Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), yang dipimpin oleh bekas ketua menteri Mustapha Harun, yang turut berselisih dengan Harris.

PBS dan Usno ketika itu bekerjasama bagi memastikan Berjaya tidak menjadi kerajaan. Sebelum pilihan raya, kedua-dua parti itu dikatakan mencapai persefahaman untuk menubuhkan kerajaan gabungan sekiranya tidak berjaya mendapat majoriti.

Namun, PBS menang dengan memperoleh 25 daripada 48 kerusi. Ia kemudian menjadi 26 selepas wakil rakyat Pasok memihak kepada PBS.

Usno memenangi 16 kerusi sementara Berjaya hanya memperoleh enam kerusi.

Namun, pemimpin Berjaya dikatakan telah bertemu Mustapha dan meyakinkan beliau berjumpa dan memaksa Yang Di-Pertua Negeri ketika itu, Adnan Roberts untuk membenarkannya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Mahkamah Tinggi akhirnya berpihak kepada Pairin dalam saman yang dikemukakan Mustapha. Dalam tempoh ini juga siri demonstrasi yang dan rusuhan yang melibatkan letupan bom di Kota Kinabalu serta beberapa bandar lain di Sabah berlaku.

Menurut penganalisis James Chin (di atas), demonstrasi dan rusuhan dalam tempoh itu dispekulasikan sebagai usaha untuk mengisytiharkan keputusan darurat dan secara tidak langsung mengenepikan Pairin dan PBS.

Tidak sampai setahun selepas pilihan raya negeri 1985, susulan situasi politik yang tegang ketika itu, Pairin mengumumkan pilihan raya mengejut.

Pada pilihan raya itu, Pairin dan PBS mengukuhkan mandat dengan memenangi 34 kerusi.

Pada tahun itu, Perdana Menteri itu, Dr Mahathir Mohamad menerima PBS menjadi parti komponen BN.

Pilihan raya 1994

Di bawah BN, PBS memenangi 36 kerusi dalam pilihan raya negeri 1990. Namun gabungan PBS-BN berdepan pelbagai isu termasuk dakwaan layanan tidak adil oleh kerajaan persekutuan.

Pada Oktober 1990, sebaik pencalonan untuk pilihan raya umum selesai, Pairin mengumumkan PBS meninggalkan BN untuk memilih Gagasan Rakyat yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.

Langkah politik itu menghalang BN yang diterajui Mahathir mengubah strategi dengan melantik calon baru pada saat akhir dan akhirnya membawa masuk wakil Umno ke negeri itu dan bertanding dalam pilihan raya 1994.

Pada pilihan raya Februari 1994, Pairin menang dengan hanya majoriti dua kerusi walaupun telah membentuk pakatan dengan Usno.

Sementara itu, Umno Sabah memperoleh hampir semua kerusi majoriti Muslim. Antara yang menang ialah calon yang bertanding pertama kali Mohamad Salleh, anak Yang Di-Pertua Negeri itu ketika itu, Mohammad Said Keruak.

Mohammad Salleh memenangi kerusi DUN Usukan untuk Umno.

Pairin ketika itu bergegas ke istana untuk mengesahkan kedudukan dan kemenangannya. Beliau bagaimanapun terpaksa menunggu selama 36 jam di depan pintu istana.

Menurut penganalisis Mohammad Agus Yusoff, Yang-di-Pertua Negeri ketika itu tidak sihat.

"Pairin menunggu di depan pintu istana, mengatakan dia ingin mengelakkan kejadian memalukan yang telah terjadi pada tahun 1985," tulis Agus dalam makalah tahun 2001 mengenai topik tersebut.

Namun, kata Chin, kejadian wakil rakyat melompat parti yang didakwa diatur oleh timbalan perdana menteri ketika itu, Anwar Ibrahim, berjaya menjatuhkan kerajaan Pairin.

Yang Di-Pertua Negeri ketika itu menolak permintaan Pairin untuk membubarkan DUN.

"Ini adalah kali pertama lompat parti secara besar-besaran menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri," kata Chin kepada Malaysiakini.

Dalam tempoh dua minggu, Pairin diganti.

Seperti yang dijanjikan sebelumnya oleh Umno, negeri itu kemudian mengamalkan sistem giliran untuk menentukan ketua menteri, bergilir setiap dua tahun antara Muslim-bumiputera, dan bukan Muslim-bumiputera atau Cina.

Namun, amalan ini dihentikan setelah Musa mengambil alih teraju kerajaan negeri pada 2003.

Pilihan raya umum 2018

Pada pilihan raya umum 2018, kejadian wakil rakyat lompat parti berlaku sekali lagi, yang menyaksikan Warisan dan sekutunya Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan negeri dari Umno-BN setelah lebih dari enam dekad.

Pada pilihan raya itu, BN Sabah dan Warisan - yang diketuai oleh bekas menteri BN Mohd Shafie Apdal - masing-masing memenangi 29 kerusi daripada 60 kerusi DUN.

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) - di bawah presiden Jeffrey Pairin Kitinggan, yang merupakan adik kepada Joseph Pairin - menjadi kingmaker.

Star yang memenangi dua kerusi berjanji akan menyokong Musa. Musa kemudian mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018.

Namun, hanya sehari kemudian, enam wakil rakyat BN lompat parti menyokong Warisan dan seterusnya memberi laluan kepada Shafie angkat sumpah sebagai ketua menteri.

Musa mengemukakan cabaran undang-undang di Mahkamah Tinggi terhadap Yang Di-Pertua Negeri dan Shafie untuk membatalkan presiden Warisan itu. Keputusan mahkamah tidak berpihak kepada Musa.

Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin kemudian membuat laporan polis terhadap Musa atas dakwaan ugutan jenayah. Musa menafikan dakwaan itu.

James Chin

Chin memberitahu Malaysiakini, mungkin sebab itu juga Juhar membuat keputusan menyebelahi Shafie semalam untuk pembubaran DUN.

“Kita mesti memberi penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri. Rakyat diberi peluang untuk memilih kali ini, bukan hanya membenarkan ketua menteri baru angkat sumpah (seperti pada tahun 1994 dan 2018).

“Ini adalah demokrasi. Sekiranya mereka hanya angkat sumpah sebagai kerajaan negeri baru, akan timbul tuntutan undang-undang seperti sebelumnya," katanya.

Chin menambah bahawapilihan raya mengejut juga membolehkan rakyat mempertimbangkan keadaan politik semasa, bukan hanya di Sabah tetapi di peringkat persekutuan, seperti perubahan kerajaan pusat pada Februari.

"Kali ini, rakyat dapat mengundi terhadap isu ini," katanya.

Lihat Komen
ADS