Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM digesa siasat dakwaan Adun Sabah diugut, ditawarkan jawatan
Diterbitkan:  Jul 31, 2020 11:41 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Susulan perkembangan politik di Sabah, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dakwaan bahawa wakil rakyat ditawarkan berjuta-juta ringgit untuk menukar sokongan.

"C4 Center rasa terganggu oleh beberapa wakil rakyat Sabah yang mendakwa diugut dan ditawarkan berjuta-juta ringgit untuk mengalihkan sokongan mereka dari Ketua Menteri Shafie Apdal kepada pesaingnya Musa Aman.

"Perkara ini tentunya cukup serius sehingga memerlukan siasatan segera oleh SPRM," kata C4 dalam satu kenyataan hari ini.

"Kecenderungan menawarkan wang dan jawatan kepada wakil rakyat untuk membeli kesetiaan mereka adalah ancaman terhadap prinsip demokrasi negara kita. Ini tidak sihat dan menjijikkan," tambahnya.

C4 menyebut bahawa selama beberapa minggu terakhir dan sejak pertengahan bulan Jun, banyak wakil rakyat telah mendedahkan plot oleh ejen yang tidak dikenali yang cuba memujuk mereka untuk menukar sokongan.

"Salah satu kes seperti itu ialah wakil rakyat Lahad Datu (Warisan) Dumi Pg Masdal yang mendakwa bahawa dia telah menerima tawaran RM5 juta daripada seorang individu dan RM20 juta dari individu lain termasuk individu yang memegang kedudukan menteri untuk lompat parti," katanya.

Tambah C4, selain Dumi, semua wakil rakyat DAP di negeri Sabah juga tampil dan memberi tahu media bahawa mereka juga diganggu dan ditawarkan wang serta kedudukan untuk meninggalkan kerajaan Shafie.

C4 juga menyorot kes Adun Kepayan Jannie Lasimbang yang mendakwa tiga orang individu datang ke rumahnya di Penampang dan memintanya untuk menukar sokongan.

Jannie sebelum ini telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Susulan itu, tiga anak lelaki bekas menteri luar negeri Anifah Aman dilaporkan telah mengarahkan peguam mereka untuk menghantar notis undang-undang kepada Jannie dan sebuah portal berita negeri mengenai perkara itu.

C4 mengatakan bahawa tuduhan yang dibuat oleh Adun berkenaan sangat serius dan harus segera disiasat.

"SPRM mesti bertindak tanpa rasa takut untuk mendedahkan kebenaran dan memberi pengajaran kepada pihak yang bertanggungjawab tanpa pilih kasih," katanya.

C4 juga mempersoalkan pengguguran 46 tuduhan rasuah terhadap Musa yang terjadi hanya beberapa minggu sebelum krisis politik di Sabah.

Kata kenyataan itu lagi, walaupun pilihan raya mengejut itu diperlukan untuk menentukan sokongan majoriti, ia tidak dialu-alukan terutama ketika negara berdepan wabak Covid-19 dan krisis ekonomi yang serius.

Lihat Komen
ADS