Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kedutaan Nepal lapor polis isu video pengawal keselamatan dipukul
Diterbitkan:  Jul 31, 2020 2:14 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Kedutaan Nepal telah membuat laporan polis susulan klip video tular yang memaparkan seorang pengawal keselamatan dipukul.

"Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur maklum dengan penuh perhatian klip video terkini yang tular di media sosial mengenai serangan terhadap seorang pengawal keselamatan di Malaysia.

"Satu laporan polis telah dimulakan untuk siasatan lebih lanjut," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi kedutaan melalui e-mel ([email protected]) atau talian hotline (016 247 2777).

Ahli jawatankuasa Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) untuk hal ehwal keselamatan Nepal Basant Singh Sidhu juga membuat laporan berasingan mengenai kejadian itu di balai polis daerah Sentul pagi ini.

"Laporan itu berdasarkan video yang tular," katanya kepada Malaysiakini, sambil menambah bahawa dia tidak mengenali pengawal keselamatan yang dilihat diserang dalam klip video tersebut.

 

Malaysiakini telah menghubungi polis untuk mendapatkan komen.

Klip video bertanda masa 7 Julai baru-baru ini tersebar dalam talian menunjukkan seorang lelaki sedang memukul lelaki lain yang berpakaian seragam pengawal keselamatan dengan sebatang kayu.

Walaupun lelaki dalam seragam pengawal keselamatan itu tidak melawan, lelaki berkenaan terus memukulnya.

"You main ah? You mari sini cari kerja ke cari masalah?" kata lelaki itu kepada lelaki yang memakai pakaian seragam pengawal keselamatan.

Sejak dimuat naik ke Facebook 14 jam yang lalu, video itu telah memperoleh 437,000 tontonan dan 11,000 perkongsian.

 

Mengulas klip video itu, pakar hak pekerja warga asing Andy Hall mengatakan bahawa penderaan terhadap pengawal keselamatan adalah masalah "sistemik dan meluas".

Bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan Dr Christopher Lee juga menimbulkan kekhuatiran atas kejadian itu.

Lee dalam kenyataan di Twitter menggesa agar pekerja warga asing dilindungi daripada penderaan seperti itu dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan meminta orang ramai menghubungi balai polis terdekat sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden ini.

"Sila hubungi balai polis terdekat.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Polis Negara," katanya satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, nasib warga pekerja harus dibela dan tidak dibiarkan ditindas oleh pihak majikan.

"Nasib setiap pekerja di negara kita harus dibela.

"Tidak kira sama ada pekerja asing atau pekerja tempatan," katanya lagi.

*Laporan tambahan oleh Annabelle Lee dan B Nanthakumar.


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS