Malaysiakini
BERITA

KDN: Kumpulan tak aktif masih boleh dianggap organisasi pengganas

Diterbitkan

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), kumpulan yang sudah tidak aktif, seperti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), masih boleh dianggap sebagai organisasi pengganas.

Dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham, KDN memetik Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Seksyen berkenaan tidak menyatakan hanya entiti yang masih bergerak aktif sahaja yang boleh disenaraikan sebagai Entiti Ditentukan.

"Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan dari agensi yang mempunyai kredibiliti seperti PDRM," kata KDN.

KDN berkata berdasarkan maklumat yang mereka terima pada 2014, terdapat asas yang kukuh untuk menyenaraikan LTTE) sebagai sebagai "Entiti Ditentukan" menurut Seksyen 66B (1).

"Selain Malaysia, beberapa negara lain pada ketika itu yang turut mengisytiharkan LTTE sebagai kumpulan pengganas ialah India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom," katanya.

KDN menjawab pertanyaan Ngeh mengenai kewajaran menangkap tiga pemimpin DAP - G Saminathan, P Gunasekaran dan Suresh Kumar - dan yang lain di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Mengulas pertanyaan itu secara spesifik, KDN berkata bahawa suspek disiasat di bawah Seksyen 130J (1) yang menyatakan bahawa adalah suatu kesalahan untuk menyokong kumpulan pengganas atau tindakan keganasan.

Ketiga-tiga pemimpinDAP itu adalah di antara sekumpulan sekitar belasan orang yang didakwa pada Oktober tahun lalu kerana dikatakan mempunyai kaitan LTTE.

Sebilangan besar ditolak jaminan dan ditahan sehingga akhir Februari apabila peguam negara ketika itu, Tommy Thomas menggugurkan tuduhan.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan