Malaysiakini
BERITA

‘Tanggung kos kuarantin warga M'sia pulang dari S'pura’

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Ogs 2020, 5:06 pagi

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran hari ini menggesa kerajaan supaya menanggung sepenuhnya kos kuarantin mandatori selama 14 hari bagi warga Malaysia yang pulang dari luar negara.

Ini secara khususnya bagi mereka yang pulang dari Singapura selepas kebanyakan mereka yang sepatutnya bekerja di sana telah hilang pekerjaan, katanya.

"Mereka terkandas di Singapura. Ramai yang tidak lagi bekerja. Ada yang diberi cuti tanpa gaji dan ada juga yang dipecat.

"Kos (kuarantin) menjadi satu beban kepada kebanyakan mereka buat masa ini. Adalah tanggungjawab kerajaan hari ini untuk menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat

"Kerajaan perlu menanggung semua kos berkaitan penyakit pandemik, ini adalah krisis negara," kata Prabakaran pada satu sidang media di Stesen Sentral Johor Bahru hari ini.

Katanya, beliau menerima ratusan aduan berkaitan isu kuarantin selepas beliau membawa isu berkenaan di Dewan Rakyat.

Kerajaan juga, menurutnya perlu penyelarasan yang lebih cekap di antara kementerian dan agensi, kerana terdapat maklumat bercanggah berhubung kuarantin yang disediakan oleh pihak berkuasa.

Sebagai contoh, Prabakaran berkata bahawa kerajaan pada April lalu, mengumumkan bahawa kos kuarantin untuk sehari adalah RM150 bagi warganegara Malaysia, dan kerajaan akan menanggung separuh daripada jumlah kos tersebut.

Namun, dakwanya, baru-baru ini kerajaan mengumumkan pula buat bahawa kos kuarantin adalah RM350 sehari. Malah, sekalipun dengan subsidi dari kerajaan, jumlah berkenaan tetap sekitar dalam dua ribu ringgit untuk keseluruhan tempoh kuarantin.

Sehubungan itu, dia mendesak kerajaan supaya memberi satu penjelasan yang jelas berhubung perkara ini.

Bermula 24 Julai, rakyat Malaysia dan warga asing yang pulang dari luar negara akan dikenakan kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan. Mereka tidak lagi dibenarkan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.