PAS gesa negeri lain ikut Pahang perkasakan Jawi
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua negeri mengikuti jejak Pahang yang memperkasakan Jawi dengan mewajibkan penggunaan tulisan itu di papan tanda.
“PAS menyokong tindakan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi, satu usaha untuk mengembalikan martabat tulisan Jawi sebagai salah satu teras kebudayaan negara.
“Sejarah membuktikan perjanjian utama sama ada di era penjajahan atau sebelumnya ditulis dalam tulisan Jawi.
“Bahkan setiap pengisytiharan Majlis Raja-Raja, surat rasmi kerajaan dan mata wang juga ditulis dalam tulisan Jawi,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, sejak tahun 1960 penggunaan Jawi makin lupus setelah penulisan itu dimansuhkan dalam sistem pendidikan negara.
Tuan Ibrahim, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menyifatkan golongan yang bertindak membantah usaha memperkasakan Jawi sebagai lupa daratan dan buta sejarah pembentukan negara.
Tambahnya, negeri itu dibentuk dengan konsensus untuk menerima Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan budaya Melayu sebagai teras kebudayaan.
Tanpa menamakan sesiapa, kenyataan itu hadir ekoran permohonan mahkamah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras Chow Yu Hui untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang yang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan.
Adun itu kemudian menyatakan bahawa keputusan untuk memasukkan penulisan Jawi dalam papan tanda perlu diserah kepada rakyat kerana ia merupakan hak kebebasan memilih.
Pada tahun lalu, kerajaan negeri memutuskan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu memasukkan tulisan jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan Rumi.
Dasar itu dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020 dan tindakan akan dikenakan kepada premis yang tidak berbuat demikian.

