Sebanyak 14 lagi kes baru Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari ini, di mana 11 daripadanya adalah dari kluster Sivagangga di Alor Setar, Kedah.

Ini menjadikan kluster berkenaan sebagai kluster aktif keempat terbesar, dengan 20 kes secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 17 kes lagi dilaporkan pulih, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 210 kes, berbanding 213 kes semalam. 

Daripada kes baru kluster Sivagangga, lapan kes merupakan kontak rapat dengan kes positif ke-8,975, iaitu kes generasi pertama.

Tiga kes baru yang lain merupakan kontak rapat dengan pesakit ke-8,976, iaitu satu lagi kes generasi pertama.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 313 orang telah disaring dan daripada jumlah itu, 280 orang diuji negatif.

Sementara itu, dua kes berasingan dikesan di Pintu Masuk Laut Antarabangsa Labuan.

Kes pertama merupakan pelajar yang tiba dari Sandakan, dan kes kedua dari Penampang yang datang ke Labuan untuk bercuti. 

Daripada 14 kes baru yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara dari negara Filipina.

Secara keseluruhan, bilangan kes kemulatif Covid-19 di seluruh negara kini adalah sebanyak 8,999 kes.

Tiada kematian baru dilaporkan, dengan jumlah kematian kekal 125 orang.