Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penasihat undang-undang Umno didakwa semula lepas dapat DNAA

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk membebas tanpa melepaskan (DNAA) penasihat undang-undang Umno, Hafarizam Harun, daripada dua dakwaan pengubahan wang haram.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, permohonan DNAA berkenaan dibuat bagi membolehkan pihaknya mengenakan pertuduhan baru di mahkamah sesyen.

Kebenaran itu diberikan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Selepas mendengar hujah pihak pendakwaan Mohd Nazlan memutuskan untuk menerima permohonan tersebut.

Katanya, ia diputuskan begitu bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan pertuduhan baru ke atas Hafarizam.

Sebelum ini tertuduh berdepan dakwaan pengubahan wang haram membabitkan dana sebanyak RM15 juta.

Pada pertuduhan pertama, Hafarizam didakwa terlibat secara langsung - dalam dua transaksi - dengan hasil aktiviti haram menerusi dua cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM11,500,000 milik Najib yang dimasukkan ke akaun Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank cawangan PWTC Menara Dato' Onn di Jalan Tun Ismail Kuala Lumpur antara 16 April 2014 dan 4 Nov 2014.

Tidak berisiko larikan diri

Hafarizam turut didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib yang dimasukkan ke akaun dari firma sama di tempat sama pada 12 Feb 2015.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) 2001 yang memperuntukan penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu Hafarizam dikenakan pertuduhan baru di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan hakim Azman Ahmad dengan satu pertuduhan pertama menjadi dua dakwaan berasingan.

Ishak menjelaskan hal itu dibuat kerana pertuduhan sebelum ini melibatkan dua transaksi, masing-masing pada April dan Nov 2014.

Hafarizam (dua dari kiri) bersama peguam belanya

Katanya akta yang berkaitan diubah di antara kedua-dua transaksi tersebut. Justeru katanya transaksi pertama akan tertakluk kepada peruntukan lama manakala transaksi mengikut diperuntukan baru.

Sebelum ini, kedua-dua transaksi disatukan menerusi satu peruntukan dalam undang-undang baru.

Dengan pertuduhan baru, Hafarizam kini berdepan tiga pertuduhan penggubahan wang haram di bawah Amlatfa yang melibatkan dana bernilai RM15 juta.

Pertuduhan pertama melibatkan cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM7.5 juta milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun firma Hafarizam pada 17 April 2014.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Amlatfa yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula membabitkan cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM4 juta milik Najib yang dimasukkan ke akaun firma baru Hafarizam pada 12 Nov 2014.

Pertuduhan kedua melibatkan Seksyen 4(1)(b) akta sama yang memperuntukan penjara sehingga 15 tahun, denda RM5 juta atau lima kali ganda wang yang terlibat, tertakluk kepada mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan ketiga pula melibatkan cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib yang dimasukkan ke akaun sama pada 22 Jan 2015 dan 12 Feb 2015.

Pertuduhan ketiga itu dibuat mengikut peruntukan sama dengan pertuduhan kedua.

Peguam Hafarizam, Hasnal Rezua Merican, memohon hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM200,000 iaitu lebih rendah daripada ikat jamin sebelum ini iaitu RM500,000.

Dia berhujah serangan wabak Covid-19 menjejaskan ekonomi.

Hasnal Rezua juga berkata tertuduh menghadiri semua perbicaraan melibatkan kes itu malah kembali ke negara ini selepas membuat perjalanan ke UK satu setengah tahun lalu.

Hal itu, kata peguam bela terbabit, menunjukkan Hafarizam tidak berisiko untuk melarikan diri daripada perbicaraan.

Cadangan berkenaan kemudian tidak dibantah pihak pendakwaan.

Hakim bersetuju dan mengarahkan Hafarizam menyerahkan pasport antarabangsanya sehingga kes diselesaikan.

Jumlah jaminan RM200,000 akan dipindahkan daripada jaminan terdahulu.

Sementara itu ketika ditemui wartawan, Hasnul Rezua memberitahu pihaknya sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk memohon kes tersebut dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Tambahnya, dia juga akan mempertimbangkan untuk menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS