Malaysiakini
BERITA

Penghadang lut sinar dipasang pisahkan ahli parlimen

Bernama

Diterbitkan

Dalam usaha mewujudkan jarak pemisah dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, penghadang lut sinar dipasang di antara tempat duduk ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata pemasangan penghadang itu juga membolehkan sebahagian ahli Parlimen - yang sebelum ini duduk di tempat pegawai di sebelah kiri dewan - dapat duduk semula di blok utama.

“Bagaimanapun masih terdapat sebahagian ahli yang berhormat perlu duduk di tempat duduk pegawai di sebelah kiri dan kanan, dan kerana hanya sebahagian penghadang lut sinar yang dapat dipasang dalam tempoh terdekat ini.

“Oleh demikian saya memohon kesabaran ahli yang berhormat sehingga perkara ini dapat diselesaikan,” katanya sambil menjelaskan semua ahli Parlimen dijangka dapat duduk di blok utama Dewan Rakyat pada minggu depan.

Azalina berkata pemasangan penghadang lut sinar itu diharapkan dapat memberi keselesaan dan kemudahan seperti yang dinikmati ahli Parlimen sebelum ini.

Ketika berucap sebelum sesi pertanyaan bagi jawab lisan itu, Azalina turut mengingatkan kewajipan ahli Parlimen untuk memakai pelitup muka pada setiap masa di Dewan Rakyat dan hanya dibenarkan membuka alat pelindung diri tersebut ketika hendak berucap.

“Ahli yang berhormat hendaklah menarik (keluar) penghadang (lut sinar) semasa duduk di dalam dewan untuk memastikan jarak pemisah antara ahli yang berhormat dan tiada kontak rapat antara ahli yang berhormat,” katanya.

Azalina turut mengingatkan agar berhati-hati ketika menarik atau menolak penghadang tersebut memandangkan pemasangan alat itu hanya untuk sementara waktu.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.