Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin diingatkan tak bawa 'dendam peribadi' ke Permatang Pauh

Adun PKR Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung mengingatkan bekas timbalan presiden parti, Mohamed Azmin Ali untuk tidak membawa "dendam peribadi" ke Permatang Pauh.

Gooi berkata demikian selepas Azmin mengatakan bahawa sudah waktunya penduduk di Permatang Pauh melihat perubahan "sebenar" selepas bertahun-tahun diwakili oleh Anwar Ibrahim dan keluarga presiden PKR itu.

"Azmin sudah banyak buat kekacauan dalam PKR.

"Kedua, hasrat Azmin Ali dan PN untuk membawa perubahan 'sebenar' ke Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang hanyalah angan-angan," katanya.

Gooi berkata Azmin dan penyokongnya gagar sedar bahawa masa mereka semakin suntuk dan akan tamat sebaik tiba pilihan raya umum.

"Saya pasti apabila tiba waktunya, rakyat Pulau Pinang akan mengetahui cara menangani pengkhianat dan katak," katanya merujuk tindakan Azmin dan penyokongnya meninggalkan parti itu untuk berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Gooi Hsiao Leung

Azmin dan penyokongnya keluar dari PKR pada 24 Februari dan bergabung dengan Bersatu, PAS, BN dan GPS untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, dan seterusnya memeri laluan kepada penubuhan PN.

Azmin sukar tembus kubu Anwar

Sementara itu, penganalisis politik berpendapat bahawa PN akan berdepan kesukaran menembusi Permatang Pauh, yang merupakan kubu kuat Anwar.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia Sivamurugan Pandian berkata, ini disebabkan oleh hubungan erat antara penduduk di Permatang Pauh dan keluarga Anwar.

"Sukar bagi PN untuk memenangi kerusi tradisional ini ... selain itu, terdapat khabar angin bahawa Anwar akan kembali bertanding di sini pada pilihan raya akan datang.

"Pengundi di sini mempunyai hubungan sentimental dengan keluarga Anwar. Mereka tidak terikat dengan isu," katanya kepada Malaysiakini.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya mengatakan bahawa kenyataan Azmin itu hanyalah retorik politik.

"Ini hanya retorik politik. Semua orang tahu kerusi itu adalah kubu kuat PKR.

"Selain itu, Ahli Parlimen yang ada sekarang, Nurul Izzah telah menunjukkan prestasi yang baik di Permatang Pauh.

"Nurul tidak mempunyai masalah atau kontroversi, tidak seperti mereka yang meninggalkan PKR," katanya.

Awang menambah bahawa kem Azmin akan kalah sekiranya mereka mencabar Nurul Izzah pada pilihan raya akan datang.

Untuk rekod, Anwar, yang kini menjadi Ahli Parlimen Port Dickson, telah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh sebanyak enam kali - pada pilihan raya 1982, 1986, 1990, 1995, dan 2013 - serta pilihan raya kecil pada bulan Ogos 2008.

Isterinya, Wan Azizah Wan Ismail memenangi Permatang Pauh pada pilihan raya 1999, 2004, dan 2008, dan pilihan raya kecil 2015 yang diadakan setelah Anwar didapati bersalah melakukan liwat dan hilang kelayakan memegang jawatan itu.

Pada pilihan raya umum 2018 yang lalu, Wan Azizah telah bertanding dan menang di Pandan. Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh Nurul Izzah yang sebelum itu merupakan ahli parlimen Lembah Pantai.

Lihat Komen
ADS