Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video pukul pengawal keselamatan: Suspek, mangsa akan dilarang keluar negara - polis

Dua warga asing yang terbabit dalam video tular memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan dipukul di tempat letak kereta di Wangsa Maju, dekat Kuala Lumpur, akan dikenakan tindakan sekatan keluar dari negara ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya sudah membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk mengenakan sekatan perjalanan keluar dari negara ini kepada dua lelaki berkenaan.

Siasatan mendapati mangsa dan suspek dalam video terbabit adalah warganegara Nepal dan masing-masing berusia 26 dan 35 tahun.

“Kami sudah membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk sekat mereka dari keluar negara ini dan hasil semakan mendapati mereka masih berada dalam negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 31 Julai lalu, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sedang mengesan mangsa dan suspek yang identitinya sudah dikenal pasti.

Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju, 7 Julai lalu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS