Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Gambar tular kompaun di stesen minyak sebab tiada pelitup muka tak benar

Gambar tular di media sosial menunjukkan individu yang sedang mengisi minyak dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di sini adalah tidak benar, kata Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan.

Dia berkata individu itu hanya diberikan amaran oleh anggota polis yang membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di stesen minyak berkenaan bagi menghentikan penularan pandemik Covid-19.

“Stesen minyak diwartakan sebagai tempat awam dan orang awam berhak untuk pergi ke stesen minyak dan bagi kes di stesen minyak itu, kita bagi amaran sahaja bukan saman,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Pahang hari ini.

Gambar itu tular di laman sosial Facebook semalam dan insiden tersebut berlaku di sebuah stesen minyak Jalan Kuantan-Gambang dengan individu terbabit didakwa telah dikompaun sebanyak RM1,000.

Abd Jalil bagaimanapun berkata pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan pelaksanaan mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak bermula Sabtu lalu sebagai langkah menghentikan penularan pandemik Covid-19.

“Pihak berkuasa tidak ada kompromi sebab kita nak beri pengajaran kepada orang ramai untuk menjadikan pemakaian pelitup muka ini sebagai kebiasaan baru dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Dia juga berkata penguatkuasaan pematuhan SOP di Pahang sejak Sabtu lalu menyaksikan sejumlah 20 individu dan 28 premis perniagaan telah dikompaun atas pelbagai kesalahan.

“Kesemua yang diberikan kompaun ini bukan berkaitan pemakaian pelitup muka sahaja tetapi turut melibatkan sebab berbeza berkaitan pematuhan SOP.

“Mereka ini juga tidak ikut SOP, contohnya tiada penjarakan fizikal, tiada pensanitasi tangan di premis, tidak ambil pendaftaran dan tidak mempunyai kod QR,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS