Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wee: Penjajaran semula ECRL tak akan sebabkan kos meningkat RM20b

PARLIMEN | Kerajaan menyangkal dakwaan bahawa rancangan untuk mengembalikan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada jajaran asal, dengan kemungkinan pengubahsuaian pada jajaran Mentakab-Klang, akan menjadikan kos projek itu meningkat sebanyak RM20 bilion.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, kerajaan akan cuba sedaya upaya untuk menjimatkan kos dengan meminda skop kerja tertentu untuk jajaran projek itu.

Antaranya, Wee berkata dijangka RM4 bilion kos dapat dikurangkan jika kerajaan kembali kepada jajaran asal dengan menggunakan laluan pesisir pantai bagi jajaran Kota Bharu-Dungun.

"Bermaksud kita tidak perlu lakukan pengukuhan tanah. Dengan cara ini, skop (kerja) dikurangkan," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

"Saya tidak mahu ada orang buat salah tafsiran bahawa (dengan) balik kepada jajaran asal, maka kos akan meningkat sehingga RM21 bilion. Ini tidak benar," katanya lagi.

Maklum bahawa rancangan BN sebelum ini untuk menggunakan landasan kembar akan menambah kos sebanyak RM10.5 bilion, Wee juga berkata pentadbiran PH perlu mengeluarkan RM2.8 bilion untuk menyiapkan landasan kembar di sepanjang jajaran.

"Penasihat PH pada masa itu Daim Zainuddin mengurangkan kos ECRL kepada RM44 bilion tanpa mengambil kira dana provisional RM2.8 bilion untuk sebahagian daripada formasi landasan kembar."

Wee berkata kerajaan memutuskan untuk kekal dengan landasan tunggal bagi jajaran di pantai timur dan landasan berkembar di Lembah Klang.

"Masalah (dengan projek ECRL ketika pentadbiran PH) adalah semua kargo yang sampai di Kuala Lumpur akan melalui KL Sentral sebelum ke Pelabuhan Klang," katanya, sambil menambah ia akan membazir masa selama hampir dua jam.

"Dengan landasan selari yang berhubung dengan Pelabuhan Klang, kita akan dapat selesaikan masalah ini kerana kita dapat meningkatkan frekuensi perkhidmatan," katanya.

Katanya lagi, perancangan PH tidak mapan kerana ia perlu bertukar daripada lokomotif elektrik kepada diesel apabila tiba di Jenjarom.

"Saya beri jaminan akan cuba yang terbaik untuk dengar pandangan semua, kita akan lakukan yang terbaik dengan jimatkan kos, dengan cara itu kita optimumkan (projek tersebut)," katanya lagi.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan jangkaan kos keseluruhan ECRL.

Katanya, kerajaan akan memuktamadkan keputusan untuk Seksyen A (jajaran Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (jajaran Dungun-Metakab).

Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian impak warisan (HIA) untuk dua seksyen itu telah diuluskan manakala penilaian impak sosial telah dihantar untuk kelulusan, kata Wee.

Untuk Seksyen C projek itu, iaitu daripada Mentakab ke Pelabuhan Klang, Wee berkata pihak kementerian akan bertemu dengan kerajaan Selangor bagi mendengar kebimbangan mereka.

Wee mengambil maklum bahawa Batu Dam dan Gombak Selangor Quartz Ridge, yang merupakan tapak warisan dunia, akan terkesan jika kerajaan kembali kepada jajaran asal.

Katanya, kerajaan telah membuat beberapa pindaan kepada jajaran dan akan bertemu kerajaan negeri minggu ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS