Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga Nepal pukul pengawal keselamatan ditahan

Polis menahan seorang lelaki warga Nepal kerana disyaki terlibat dengan insiden memukul seorang pengawal keselamatan warganegara sama seperti yang tular dalam satu rakaman video pada 31 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata penahanan individu berumur 34 tahun itu dibuat pada 5 petang tadi hasil kerjasama dengan pihak Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur.

"Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju petang tadi.

"Susulan itu suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Rajab Ahad berkata polis bagaimanapun masih mengesan keberadaan mangsa selain menyeru orang ramai untuk tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 atau ASP M Hussin Sollehuddin Zolkifly (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju) di talian 017-2446363 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada 31 Julai lepas, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sedang mengesan mangsa serta suspek yang identitinya sudah dikenal pasti.

Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju pada 7 Julai lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS