Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan boleh dapat pampasan lebih tinggi dari Goldman Sachs jika tak gopoh
Diterbitkan:  Aug 4, 2020 4:07 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Kerajaan boleh memperoleh lebih banyak pampasan dari Goldman Sachs atas peranannya dalam tuduhan penyelewengan dana 1MDB jika tidak tergopoh-gapah, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Lim bersetuju dengan bekas peguam negara Tommy Thomas yang semalam mengatakan Goldman Sachs akan berada di bawah tekanan jika kes-kes jenayah terhadap pegawai banknya dibawa ke mahkamah, seterusnya memberikan Malaysia kelebihan dalam tawar-menawar yang lebih kuat dalam rundingan.

"Bertentangan dengan apa yang didakwa Menteri Kewangan, PN (kerajaan Perikatan Nasional) sebenarnya mengambil tindakan populis dan tidak pragmatik apabila kerajaan dengan tergopoh-gapah menuntut bayaran awal yang jauh lebih rendah.

"Tindakan pragmatik adalah seperti yang dinyatakan oleh Tommy Thomas, iaitu, tunggulah sehingga perbicaraan jenayah ke atas Goldman Sachs bermula agar dapat bayaran wang tunai secara langsung yang lebih besar dan wajar daripada GS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz semalam mempertahankan penyelesaian Putrajaya dengan Goldman Sach yang akan menyaksikan bank meminta wang tunai RM2.5 bilion dan jaminan RM1.4 bilion lagi mengenai pemulihan aset yang didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB yang dicuri.

Ditanya mengapa kerajaan PN tidak menuntut RM7.5 bilion seperti yang dituntut oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, dia berkata dia memilih jalan penyelesaian yang pragmatik.

Zafrul juga mengecam pertuduhan jenayah yang diambil oleh kerajaan sebelumnya terhadap Goldman Sachs, dengan menyatakan bahawa tindakan saman sivil kerajaan PN lebih baik dan menghasilkan penyelesaian.

Thomas membantah hal ini, dengan menyatakan bahawa pertuduhan jenayah akan memberi tekanan yang lebih besar kepada Goldman Sachs dan juga mengkritik jaminan yang diberikan oleh bank, dengan menyorot bahawa pemulihan aset tersebut sudah dilakukan oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ).

Zafrul juga mempertahankan jaminan itu, dengan menyatakan bahawa Malaysia terdedah kepada risiko penilaian aset yang dipulihkan sementara jaminan Goldman Sachs akan memastikan jumlah minimum untuk aset yang dipulihkan.

Lim, dalam pernyataannya hari ini, mengatakan bahawa dia tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu kerana dia ingin melihat bagaimana kerajaan akan respons terhadap kritikan Thomas.

Goldman Sachs bertanggungjawab mengatur tiga bon untuk 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion, sejumlah besar dana itu kemudiannya disalahgunakan.

Bank itu mengatakan tidak tahu bahawa hasil yang disusunnya akan disalahgunakan dan telah meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas skandal tersebut.

"Sangat jelas bahawa rakyat Malaysia ditipu oleh banyak individu, termasuk anggota tertinggi kerajaan sebelumnya," kata ketua pegawai eksekutif Goldman Sachs Group Inc. David Solomon sebelum ini.

Lihat Komen
ADS