PARLIMEN | Ketua pembangkang Anwar Ibrahim membidas penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berhubung alasan penangguhan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sepatutnya dibuat bulan ini.

Anggota parlimen Port Dickson berkata, hal yang dibangkitkan Mustapa dalam Dewan Rakyat hari ini membabitkan hal serupa seperti dipetimbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu, iaitu melibatkan langkah-langkah yang sepatutnya diambil lebih awal, termasuklah membahaskan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM295 juta.

Lebih-lebih lagi, kata Anwar, keperluan untuk melaksanakan tindakan bagi mengatasi kesan Covid-19 pada kadar segera tidak harus menjadi penghalang ia didebatkan pada bulan Ogos

Anwar juga mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas menunjukkan keengganan untuk melakukannya.

RMK-12 sepatutnya dibentangkan di parlimen pada 6 Ogos ini namun ditangguhkan sehingga tahun depan bersekali dengan pembentangan Belanjawan 2021 bagi atas alasan untuk memberi ruang penilaian semula dilakukan.

RMK baru itu dijangka dibentangkan tahun depan, manakala Belanjawan 2021 pula dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Nov ini.

“Alasan itu bagi saya terlalu sangat remeh.

“Ia terkait dengan beberapa langkah yang harus dibuat sebelumnya, termasuk membahaskan pakej rangsangan, Belanjawan (2021) ditunda.

“Alasan disebut oleh perdana menteri ialah tak mahu menangguhkan pelaksanaan. Kita dah jelaskan, pelaksanaan tak semestinya ditangguhkan, tapi perbahasan di parlimen harus diteruskan,” katanya.

Untuk suburkan semula ekonomi

Dia sebelum itu bertanya soalan kepada Mustapa punca pembentangan RMK-12 ditangguhkan ke tahun depan, dan sejauh mana permasalahan fiskal menjadi punca kepada penangguhan tersebut, selain penularan Covid-19 dan penyusunan semula kementerian.

Antara sebab yang dikemukakan Mustapa ialah kerajaan PN baru ditubuhkan pada Mac lalu.

“Perdana menteri baru, menteri pun ada yang baru, beberapa kementerian telah disusun semula. Wawasan PN pun berbeza daripada kerajaan terdahulu.

“Andaian-andaian yang dibuat sebelum Covid-19 mengenai beberapa petunjuk penting ekonomi perlu dilihat semula,” katanya merujuk beberapa petunjuk ekonomi seperti kadar pertumbuhan ekonomi, harga minyak mentah dan kadar pengangguran.

Anggota Parlimen Jeli itu turut berkata kerajaan perlu mengambil kira perubahan landskap ekonomi negara dan global yang bertukar akibat Covid-19, termasuklah peranan ekonomi digital, perhatian terhadap sekuriti makanan, dan pemulihan industri pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pun begitu, jelas Mustapa lagi, RMK-12 akan tetap berteraskan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilancarkan Okt tahun lepas oleh kerajaan PH bagi membawa pembangunan untuk semua dan menangani jurang kekayaan dan pendapatan.

Kerajaan PN mengumumkan pakej rangsangan Prihatin dan Penjana secara berperingkat - bernilai keseluruhan RM295 bilion - bagi menyuburkan semula ekonomi yang terkesan oleh Covid-19.

Bagaimanapun, PN berdepan kritikan apabila perbelanjaan itu tidak dibahaskan dan peruntukan berkenaan tidak dibenarkan, malah sidang parlimen lepas hanya berlangsung selama beberapa jam saja pada Mei lalu atas alasan kebimbangan penularan wabak tersebut.

Anwar turut mendakwa pakej rangsangan itu sebagai “sub-optimal” (tidak cukup optimum) jika dibandingkan langkah lebih dinamik yang diambil negara lain bagi berdepan dengan kesan ekonomi Covid-19.

Dia memetik Jerman sebagai contoh dengan dana penstabilan ekonominya bagi memecut pengagihan peruntukan, serta India yang didakwanya memberi fokus terhadap pertanian dan PKS, manakala Kanada pula terhadap perubahan iklim.

Mustapa menjawab dengan mendakwa Anwar mungkin “agak keliru sikit” memandangkan isu utama berkenaan pembentangan RMK, bukannya mendebatkan soal pakej rangsangan.

Katanya, RMK itu hanya akan bermula 2021, maka “belum sampai masanya” dan oleh kerana akan dibentangkan awal tahun hadapan, ada “ruang yang cukup besar” untuk dibahaskan.

[Baca berita asal]