Malaysiakini
BERITA

Letupan di Beirut: Lebih 73 terbunuh, 3,000 cedera

Diterbitkan

GLOBAL l Dua letupan besar menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera, lapor agensi berita Xinhua.

Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut sekitar 6.10 petang waktu tempatan (1610 GMT), menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak korban nyawa dan kerosakan.

Punca sebenar letupan masih belum diketahui, tetapi Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di pelabuhan berkenaan meletup.

Berikutan insiden itu, Perdana Menteri Hassan Diab mengisytiharkan Rabu sebagai hari berkabung negara.

Diab turut merayu negara sahabat membantu Lubnan dalam menghadapi keadaan yang sukar itu.

Presiden Lubnan Michel Aoun turut memanggil mesyuarat tergempar majlis pertahanan dan mengisytiharkan Beirut kini dalam keadaan kecemasan sambil mendesak kabinet mengumumkan darurat di bandar raya itu selama dua minggu.

Majlis itu juga mendesak kabinet memperuntukkan dana untuk hospital serta menghubungi semua negara sahabat bagi mendapatkan sokongan bagi mewujudkan tabung bantuan untuk memberi ganti rugi kepada mangsa terjejas .

Pada mesyuarat itu Diab menegaskan mereka yang bertanggungjawab perlu dihukum, kerana menyimpan 2,700 tan amonium nitrat, bahan kimia mudah meletup yang membahayakan nyawa manusia, adalah perbuatan yang langsung tidak boleh diterima.

Banyak negara menyatakan solidariti dan simpati dengan kejadian itu, yang memberi tamparan hebat ketika negara berkenaan turut bergelut dengan penularan wabak COVID-19 dan krisis ekonomi.

Antara yang menyuarakan simpati dan menyampaikan ucapan takziah ialah Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, Kementerian Luar Negeri Turki, Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Palestin Mohammed Ishtaye.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.